ENAKMEN 12 TAHUN 1986
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM 1986
BAHAGIAN II - PERLANTIKAN PEGAWAI-PEGAWAI DAN PENUBUHAN MAJLIS
Seksyen 13. Kewajipan Majlis mengenai kemajuan sosio-ekonomi orang-orang Islam.
(1) Majlis hendaklah berikhtiar untuk menganjur, mendorong, membantu, dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan sosial dan ekonomi masyarakat Islam dalam Negeri ini selaras dengan Hukum Syara'.
(2) Jawatankuasa Fatwa hendaklah menjadi badan untuk menasihatkan Majlis tentang pelaksanaan kewajipannya di bawah subseksyen (1) untuk menjamin supaya kegiatan-kegiatan yang dijalankan dalam pelaksanaan itu tidak melibatkan apa-apa unsur yang tidak dibenarkan oleh Agama Islam.
(3) Bagi maksud melaksanakan kewajipan-kewajipannya di bawah subseksyen (1), Majlis berkuasa-
(a)
untuk menjalankan segala kegiatan yang tidak akan melibatkan apa-apa unsur yang tidak dibenarkan oleh Agama Islam, khususnya memajukan enterprais perdagangan dan perindustrian, yang ternyata kepada MajIis bahawa menjalankannya adalah perlu, berfaedah, atau menyenangkan bagi atau berhubungan dengan pelaksanaan tugasnya yang tersebut itu, termasuklah membuat, memasang, memproses, membungkus, menggred dan memasarkan keluaran-keluaran;
(b)
untuk menganjur penjalanan apa-apa kegiatan yang sedemikian itu oleh badan-badan atau orang-orang lain, dan bagi maksud itu untuk menubuh atau memperkembangkan, atau menganjur penubuhan atau perkembangan, badan-badan lain untuk menjalankan apa-apa kegiatan yang sedemikian itu sama ada di bawah kawalan Majlis sepenuhnya atau separa atau secara bebas, dan untuk memberi bantuan kepada badan-badan yang sedemikian itu atau kepada badan-badan atau orang-orang lain yang ternyata kepada Majlis mempunyai kemudahan-kemudahan untuk menjalankan apa-apa kegiatan yang sedemikian itu, termasuklah bantuan kewangan dengan mengambil modal syer atau pinjaman atau dengan memberi pinjaman atau selainnya;
(c)
untuk menjalankan apa-apa kegiatan yang sedemikian itu bersekutu dengan badan-badan dan orang-orang lain, termasuklah jabatan-jabatan atau pihak-pihak berkuasa Kerajaan Negeri, atau sebagai ejen pengurusan atau selainnya bagi pihak Kerajaan Negeri;
(d)
untuk membeli, megunderait, atau memperolehi secara lain apa-apa stok atau syer dalam mana-mana syarikat awam atau persendirian, dan untuk melupuskan stok dan syer itu atas terma-terma dan syarat-syarat sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis;
(e)
untuk menubuhkan, dengan kelulusan Menteri Besar, apa-apa skim untuk memberi pinjaman daripada Kumpulan Wang kepada individu-individu Islam;
(f)
untuk menubuh dan menyenggarakan institusi-institusi latihan dan penyelidikan; dan
(g)
untuk melakukan segala perbuatan yang Majlis fikirkan perlu atau bermanfaat.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.