ENAKMEN 3 TAHUN 2002
ENAKMEN PENGAWALAN SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA ISLAM (MELAKA) 2002

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN SEKOLAH AGAMA



Seksyen 6. Permohonan untuk menubuhkan sekolah agama.

(1) Mana-mana orang yang hendak menubuhkan atau menyenggarakan sesuatu sekolah agama hendaklah memohon secara bertulis kepada Pendaftar untuk mendaftarkan sekolah agama itu mengikut apa-apa bentuk, yang hendaklah juga disertakan dengan surat cara pengurusan yang dicadangkan kecuali bagi sekolah agama yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri, sebagaimana yang ditetapkan.

(2) Pada bila-bila masa selepas menerima permohonan di bawah subseksyen (1)dan sebelum permohonan itu ditentukan, Pendaftar boleh, dengan notis bertulis, menghendaki pemohon memberikan apa-apa dokumen atau maklumat tambahan sebagaimana yang difikirkan perlu oleh Pendaftar.

(3) Jika apa-apa dokumen atau maklumat tambahanyang dikehendaki di bawah subseksyen (2) tidak diberikan oleh pemohon dalam masa yang dinyatakan dalam notis itu atau apa-apa masa lanjutan yang diberikan oleh Pendaftar, permohonan itu hendaklah disifatkan telah ditarik balik dan tidak boleh diteruskan, tetapi tanpa menjejaskan permohonan baru yang dibuat oleh pemohon.

(4) Sesuatu permohonan di bawah seksyen ini boleh ditarik balik pada bila-bila masa sebelum permohonan itu diluluskan atau ditolak.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.