ENAKMEN 20 TAHUN 2003
ENAKMEN TATACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI JOHOR) 2003
BAHAGIAN XVIII - PENGUATKUASAAN DAN PELAKSANAAN
BAB 2 - PENGUATKUASA
Seksyen 151. Penguatkuasaan penghakiman untuk melakukan atau menahan diri daripada melakukan sesuatu perbuatan.
(1) Jika -
(a)
seseorang yang dikehendaki oleh sesuatu penghakiman atau perintah supaya melakukan sesuatu perbuatan dalam masa yang dinyatakan dalam penghakiman atau perintah itu enggan atau abai melakukannya dalam masa itu atau dalam masa yang dilanjutkan atau dipendekkan di bawah seksyen 238, mengikut mana-mana yang berkenaan; atau
(b)
seseorang mengingkari suatu penghakiman atau perintah yang menghendakinya supaya menahan diri daripada melakukan sesuatu perbuatan, maka, tertakluk kepada Enakmen ini, penghakiman atau perintah itu bolehlah dikuatkuasakan melalui satu atau lebih daripada satu cara yang berikut, iaitu -
(aa)
dengan kebenaran Mahkamah, perintah pengkomitan; atau
(bb)
jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, dengan kebenaran Mahkamah, perintah pengkomitan terhadap mana-mana pengarah atau pegawai yang bertanggungjawab bagi pengurusan pertubuhan itu.
(2) Jika sesuatu penghakiman atau perintah menghendaki seseorang melakukan sesuatu perbuatan dalam masa yang dinyatakan dalamnya dan suatu perintah dibuat kemudiannya di bawah seksyen 152 menghendaki perbuatan itu dilakukan dalam suatu masa yang lain, maka sebutan dalam subseksyen (1) mengenai penghakiman atau perintah hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai perintah yang dibuat di bawah seksyen 152.
(3) Jika di bawah mana-mana penghakiman atau perintah yang menghendaki penghantarserahan apa-apa harta alih, orang yang boleh dikenakan pelaksanaan mempunyai pilihan untuk membayar nilai tertaksir harta itu, dan penghakiman atau perintah itu tidak boleh dikuatkuasakan melalui perintah pengkomitan di bawah subseksyen (1), maka Mahkamah boleh, atas permohonan orang yang berhak menguatkuasa penghakiman atau perintah itu, membuat suatu perintah yang menghendaki orang mula-mula disebut itu menghantarserahkan harta itu kepada pemohon dalam masa yang dinyatakan dalam perintah itu dan perintah itu bolehlah dilaksanakan sedemikian.
(4) Permohonan di bawah subseksyen (3) hendaklah dibuat dalam Borang MS 33 dan disokong dengan afidavit dan suatu salinan permohonan dan afidavit itu hendaklah disampaikan kepada orang yang terhadapnya perintah itu hendak dikuatkuasakan.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.