ENAKMEN 1 TAHUN 1991
ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARA' NEGERI SEMBILAN 1991

BAHAGIAN V
Kewangan



Seksyen 60. Modal wakaf dan nazr am.

(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan subseksyen (2) dan (3), harta dan aset modal yang tersentuh oleh mana-mana wakaf atau nazr am yang sah tidak boleh menjadi sebahagian daripada Baitulmal tetapi hendaklah digunakan menurut wakaf atau nazr am itu dan dipegang sebagai kumpulan wang yang berasingan.

(2) Jika, oleh sebab luput masa atau perubahan hal keadaan, tidak mungkin lagi dapat dijalankan secara berfaedah akan peruntukan-peruntukan tepat bagi mana-mana wakaf atau nazr am, Majlis hendaklah menyediakan suatu skim bagi menggunakan harta dan aset yang tersentuh olehnya dengan cara yang sehampir mungkin sama dengan yang dikehendaki oleh terma-terma bagi wakaf atau nazr am itu, dan hendaklah menggunakan sewajarnya:

Dengan syarat bahawa Majlis boleh, dengan kelulusan secara bertulis daripada Yang di-Pertuan Besar, mengarahkan supaya harta dan aset itu hendaklah ditambah kepada dan menjadi sebahagian daripada Baitulmal.

(3) Jika terma-terma mana-mana wakaf atau nazr am adalah sebegitu rupa di mana tiada cara penggunaan harta modal dan aset yang tersentuh olehnya ditentukan atau ada ketaktentuan tentang cara bagaimana ia hendak digunakan, Majlis boleh mengarahkan supaya harta dan aset modal itu ditambah kepada dan menjadi sebahagian daripada Baitulmal.

(4) Segala suratcara yang mewujudkan, yang menjadi keterangan atau menyentuh mana-mana wakaf atau nazr am, berserta dengan mana-mana dokumen hakmilik atau sekuriti-sekuriti lain yang berhubung dengannya hendaklah dipegang dan disimpan oleh Majlis.






Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.