ENAKMEN 3 TAHUN 1987
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1987

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.


(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang berlainan-

"anak dara" ertinya perempuan yang belum pernah disetubuhi;

"balu" ertinya perempuan yang suaminya telah mati;

"bermastautin" ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya tinggal dalam rumah kediaman dalam sesuatu kawasan tertentu;

"bermukim" ertinya tinggal sementara dalam sesuatu kawasan tertentu;

"darar syarie" ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syara' ;

"duda" ertinya lelaki yang isterinya telah mati;

"fasakh" ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syara';

"Hakim Syariah" ertinya Kadi yang dilantik di bawah Seksyen 40 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982, dan termasuklah Kadi Besar;

"harta" ertinya segala jenis harta, alih dan takalih, kepentingan dan hak berkaitan dengannya dan termasuklah benda-benda seperti hutang-piutang;

"harta sepencarian" ertinya pendapatan atau harta yang didapati daripada usaha bersama di antara suami dan isteri dan termasuklah pendapatan yang didapati daripada modal yang diperolehi daripada usaha mereka bersama;

"idah" ertinya satu tempoh dalam masa mana seorang perempuan yang telah bercerai atau telah mati suaminya dilarang oleh Hukum Syara' berkahwin lagi;

"janda" ertinya perempuan yang telah bercerai dengan suaminya;

"Mahkamah" ertinya Mahkamah Kadi atau Mahkamah Kadi Besar atau Mahkamah Ulang Bicara yang ditubuhkan di bawah seksyen 42 dan 44 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang ditubuhkan di bawah seksyen 5 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982;

"mas kahwin" ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syara' oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada dibayar dengan wang tunai atau dengan benda atau dengan berhutang dengan atau tanpa cagaran;

"mukim" dan "mukim masjid" ertinya kawasan yang ditetapkan sempadannya oleh Majlis dan di dalamnya terletak sebuah masjid tetapi tidaklah semestinya kawasan itu adalah sama kawasan dengan kawasan di mana-mana mukim mengikut Kanun Tanah Negara;

"mut'ah" ertinya pemberian yang wajib atas suami kepada isteri kerana bercerai dengan syarat-syarat yang tertentu mengikut Hukum Syara' ;

"nafkah" ertinya saraan atau perbelanjaan mengenai makanan, pakaian dan tempat tinggal bagi tiap-tiap isteri, anak, janda dan orang-orang lain di bawah tanggungan seorang suami atau bekas suami sebagaimana yang diwajibkan oleh Hukum Syara' ke atasnya;

"nasab" ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;

"nusyuz" ertinya sesuatu tindakan isteri terhadap suaminya yang dianggap durhaka mengikut Hukum Syara' ;

"Pegawai Agama" ertinya pegawai yang dilantik di bawah seksyen 40 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang 1982;

"Pendaftaran" ertinya Pendaftaran Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28 Enakmen ini dan termasuklah Ketua Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

"persetubuhan syubhah" ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuklah mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam;

"ruju" ertinya perkembalian kepada nikah yang asal;

"sesusuan" ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;

"talaq" ertinya memutuskan perkahwinan dengan cara mengucapkan perkataan-perkataan oleh suami kepada isterinya mengikut Hukum Syara' ;

"ta'liq" ertinya ikrar atau pengakuan yang dibuat oleh suami selepas akad;

"tak sahtaraf" berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak daripada persetubuhan syubhah;

"tarikh yang ditetapkan" ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah seksyen 1 untuk mula berkuatkuasanya Enakmen ini;

"thayyib" ertinya perempuan yang pernah disetubuhi;

"wali" ertinya waris bagi seorang perempuan yang boleh mengkahwinkannya mengikut Hukum Syara' ;

"wali Hakim" ertinya wali yang ditauliahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk mengkahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali mengikut Hukum Syara' atau perempuan yang walinya enggan mengkahwinkan tanpa sebab yang munasabah mengikut Hukum Syara' .

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan di dalam ini tetapi ditakrifkan dalam Akta Pentafsiran 1967 [23/67] hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing oleh Akta itu.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada bentuk skrip bahasa Arab perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

(4) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh dari semasa ke semasa meminda, memotong daripada, atau menambah kepada, Jadual itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.