ENAKMEN 12 TAHUN 1985
ENAKMEN UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN KELUARGA ISLAM

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 45. Timbangtara oleh hakam.

(1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan, Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syara', dua orang penimbangtara atau hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.

(2) Pada melantik
hakam di bawah subseksyen (1), Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak yang berkenaan itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

(3) Mahkamah boleh memberi arahan-arahan kepada
hakam tentang hal menjalankan penimbangtaraan dan mereka hendaklah menjalankannya mengikut arahan-arahan itu dan Hukum Syara';

(4) Jika
hakam tidak dapat bersetuju, atau jika Mahkamah tidak puas hati dengan cara mereka menjalankan penimbangtaraan itu, Mahkamah boleh memecat mereka dan melantik hakam lain bagi menggantikan mereka.

(5)
Hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal mereka masing-masing, dan boleh, jika kuasa mereka membenarkan, melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah jika dibenarkan sedemikian oleh Mahkamah, dan jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah merekodkan lafaz satu talaq itu, dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(6) Jika
hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat mendikrikan perceraian oleh kerana sesuatu sebab, Mahkamah hendaklah melantik hakam lain dan hendaklah memberi kepada mereka kuasa untuk mendikrikan perceraian dan hendaklah, jika mereka berbuat demikian, merekodkan dikri itu dan menghantarkan satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.