ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN KELUARGA ISLAM (PERAK) 2004
BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN
Seksyen 53. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh
(1) Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk
fasakh
atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu-
(a) bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami atau isteri telah dihukum dengan hukuman pemenjaraan selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah menurut Hukum Syarak, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami atau isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali
Mujbir
nya sebelum dia mencapai umur
baligh
, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
(h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain-
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
(ii) berkawan dengan perempuan atau lelaki yang berperangai jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak;
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah;
(iv) melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu;
(v) menghalang isteri atau suami darpada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
(vi) jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syarak;
(i) bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi perkahwinan itu belum disatukan kerana suami atau isteri bersengaja enggan disetubuhi;
(j) bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diiktiraf oleh Hukum Syarak;
(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit mental, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Mental
[Ord. 31/52]
, atau sakit mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; atau
(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi
fasakh
di bawah Hukum Syarak.
(2) Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah bagi pembubaran perkahwinan atau
fasakh
atas alasan bahawa isteri menjadi tak upaya yang menghalang persetubuhan.
(3) Tiada suatu perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (1)(c) sehingga hukuman pemenjaraan itu telah menjadi muktamad dan suami atau isteri itu telahpun menjalani satu tahun daripada hukuman itu.
(4) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1)(e) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamh dalam tempoh satu tahun dari perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada suatu perintah
fasakh
boleh dibuat atas alasan itu.
(5) Tiada suatu perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkah laku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan bertindak untuk menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.