ENAKMEN 3 TAHUN 1989
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH 1988

BAHAGIAN VI - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN TAMBAHAN
Bab XXII - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN KHAS BERHUBUNG DENGAN KETERANGAN



Seksyen 177. Prosedur apabila orang boleh memberi keterangan mustahak sakit tenat.

(1) Apabila seorang Kadi berpendapat bahawa seseorang yang boleh memberi keterangan yang mustahak sama ada bagi pendakwaan atau pembelaan, berhubung dengan kesalahan yang boleh ditangkap adalah sakit tenat dan tidak praktik untuk mengambil keterangannya menurut perjalanan biasa undang-undang, Kadi itu boleh mengambil deposisi orang tersebut dengan syarat notis yang munasabah seberapa yang dibolehkan oleh keadaan kes itu telah diberi kepada Pengarah Pendakwa dan orang yang dituduh tentang cadangan untuk mengambil deposisi itu dan masa dan tempat di mana dia bercadang untuk mengambilnya.

(2) Jika orang yang dituduh berada di dalam jagaan Kadi boleh memerintahkan Penguasa Penjara menghantar orang yang dituduh itu ke tempat itu, pada waktu yang telah diberitahu dan pegawai tersebut hendaklah menghantarkannya seperti yang diperintahkan.

(3) Bila telah dibuktikan di dalam pembicaraan orang yang dituduh atas mana-mana kesalahan di mana ada hubungannya dengan deposisi itu bahawa deponen itu telah mati atau kerana mana-mana sebab yang mencukupi kehadirannya tidak dapat diperolehi, deposisi itu boleh dibaca sama ada bagi atau terhadap orang yang dituduh, tanpa mengambil kira ketidakhadirannya bila diposisi itu diambil, sekiranya deposisi itu diperakui di bawah tandatangan Kadi yang mengambilnya dan tidak dibuktikan bertentangan atau sekiranya dapat ditunjukkan oleh keterangan lain bahawa deponen itu memang pada masa pemeriksaan itu sakit tenat sebagaimana yang telah disebut dan bahawa deposisi itu telah diambil dengan sempurna di tempat dan masa yang telah diberitahu dan bahawa notis yang munasabah tentang cadangan untuk mengambilnya telah diberikan kepada orang terhadap siapa deposisi itu dikemukakan, supaya dia atau peguamnya boleh hadir dan boleh mendapat, jika dia memilih untuk hadir, peluang penuh untuk pemeriksaan balas.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.