ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN KELUARGA ISLAM (PERAK) 2004
BAHAGIAN VII - PENJAGAAN
Hadhanah atau Penjagaan Kanak-Kanak
Seksyen 82. Orang yang berhak menjaga knak-kanak
(1) Tertakluk kepada seksyen 83, ibu adalah yang paling berhak daripada segala orang terhadap hak
hadhanah
anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.
(2) Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah tidak layak di bawah Hukum Syarak daripada mempunyai hak terhadap
hadhanah
atau penjagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen (3), hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu-
(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas;
(b) bapa;
(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas;
(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(e) kakak atau adik perempuan seibu;
(f) kakak atau adik perempuan sebapa;
(g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(h) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;
(i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
(j) emak saudara sebelah ibu;
(k) emak saudara sebelah bapa;
(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai
asabah
atau residuari:
Dengan syarat bahawa penjagaan orang itu tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.
(3) Tiada seorang lelaki pun berhak terhadap penjagaan seseorang kanak-kanak perempuan melainkan jika lelaki itu adalah seorang
mahram
, iaitu, dia mempunyai pertalian dengan kanak-kanak perempuan itu dalam mana dia dilarang berkahwin dengannya.
(4) Tertakluk kepada seksyen 83 dan 85, jika ada beberapa orang daripada keturunan atau peringkat yang sama, kesemuanya sama layak dan bersetuju menjaga kanak-kanak itu, penjagaan hendaklah diamanahkan kepada orang yang mempunyai sifat-sifat paling mulia yang menunjukkan perasaan paling kasih sayang kepada kanak-kanak itu, dan jika kesemuanya sama mempunyai sifat-sifat kemuliaan, maka yang tertua antara mereka adalah berhak mendapat keutamaan.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.