ENAKMEN 14 TAHUN 1978
ENAKMEN PENTADBIRAN IGAMA ISLAM 1978

BAHAGIAN IV
ACARA DALAM PERBICARAAN JENAYAH



Seksyen 86. Pembicaraan.

(1) Pertuduhan hendaklah dibaca dan diterangkan kepada yang kena tuduh. Jika ia mengaku salah maka bolehlah ia dihukum atas pengakuannya itu.

(2) Jika orang yang dituduh itu minta bicara atau enggan mengaku, maka pendakwa hendaklah menyatakan dengan ringkasnya fakta-fakta yang hendak dibuktikan dan undang-undang yang berkaitan dan selepas itu hendaklah memanggil saksi-saksinya.

(3) Tiap-tiap saksi hendaklah diperiksa oleh pihak yang memanggilnya dan boleh diperiksa balas oleh pihak yang menentang. Pemeriksaan balas itu boleh diperbuat dengan tujuan hendak menentukan samada boleh dipercayai atau tidak. Pihak yang memanggil saksi itu boleh pula memeriksanya semula di atas perkara-perkara yang timbul daripada pemeriksaan balas itu. Mahkamah boleh menyoal mana-mana saksi pada bila-bila masa. Apa-apa soalan selanjutnya boleh dikemukakan atau saksi-saksi boleh dipanggil semula dengan kebenaran Mahkamah.

(4) Selepas mendengar keterangan saksi-saksi bagi pihak pendakwa Mahkamah itu hendaklah samada menolak kes itu atau meminta yang dituduh membuat pembelaan.

(5) Jika diminta pembelaannya, maka yang dituduh boleh bercakap kepada Mahkamah dan selepas itu boleh samada memberi keterangan bersumpah atau boleh memberi kenyataan dengan tidak bersumpah, dalam mana ianya tidak boleh diperiksa balas atau boleh berdiam. Jika yang dituduh memberi keterangan ianya boleh diperiksa balas, tetapi tidak boleh diperiksa mengenai kelakuannya atau lain-lain kesalahan yang tidak dipertuduhkan.

(6) Orang yang dituduh boleh selepas itu memanggil saksi-saksinya.

(7) Orang yang dituduh boleh menggulung kes bagi dirinya.

(8) Pendakwa boleh menjawab.

(9) Mahkamah itu hendaklah selepas itu samada mensabitkan atau membebaskan yang dituduh.

(10) Jika yang dituduh didapati salah dan disabitkan Mahkamah boleh diberitahu tentang kesalahan-kesalahan yang dahulu dan hendaklah menimbangkan permintaan meringankan hukuman.

(11) Mahkamah itu hendaklah menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang.

(12) Pada bila-bila masa dalam pembicaraan sebelum keputusan, pendakwa boleh sekiranya ia memikirkan patut, memberitahu Mahkamah yang ia tidak bercadang meneruskannya pendakwaannya terhadap yang dituduh mengenai pertuduhan itu dan dengan itu semua pembicaraan mengenai pertuduhan terhadap yang dituduh boleh ditarikbalik dengan kebenaran Mahkamah dan jika pertuduhan itu ditarikbalik, maka yang dituduh hendaklah dilepaskan. Melepaskan dengan cara ini tidak terjumlah membebaskan melainkan dengan perintah Mahkamah.

(13) Mahkamah hendaklah pada setiap masa berpuashati bahawa orang yang dituduh mengerti jenis dan akibat pembicaraan itu dan mempunyai peluang membela dirinya.

(14) Semua keterangan hendaklah diberi di hadapan orang yang dituduh dan hendaklah diterjemahkan kepadanya jika keterangan dibuat di dalam bahasa yang tidak difahami.

(15) Mahkamah hendaklah merekodkan keterangan-keterangan dengan bertulis dalam bentuk seperti yang dituturkan dan hendaklah juga merekodkan keputusan dan hukumannya, jika ada.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.