ENAKMEN 1 TAHUN 1983
ENAKMEN KELUARGA ISLAM 1983

BAHAGIAN III - PERKAHWINAN DAN PENDAFTARAN



Seksyen 42. Penyelenggaran Daftar Cerai.


(1) Tiap-tiap Pendaftar dan juga Ketua Pendaftar hendaklah masing-masing menyelenggara Daftar Cerai bagaimana Borang 5C dan hendaklah sertamerta mencatatkan di dalamnya butir-butir yang ditetapkan mengenai semua perintah perceraian dan pembatalan yang dihantar kepadanya dibawah seksyen-kecil (2) dan mengenai semua perintah perceraian dan pembatalan yang dipohon di bawah seksyen-kecil (3) untuk didaftarkan.

(2) Tiap-tiap Mahkamah yang memberi dan merekodkan sesuatu perintah perceraian atau pembatalan atau yang membenar dan merekodkan sesuatu talak atau apa-apa lain bentuk perceraian hendaklah sertamerta menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui benar kepada Ketua Pendaftar yang berkenaan untuk didaftarkan.

(3) Jika sesuatu perkahwinan yang diakadnikahkan dalam Negeri ini dibubarkan atau dibatalkan dengan suatu perintah Mahkamah yang layak berbidangkuasa di luar Negeri ini, salah satu daripada pihak-pihak itu boleh memohon kepada Ketua Pendaftar yang berkenaan untuk didaftarkan perintah itu dan Ketua Pendaftar hendaklah mendaftarkan perintah itu apabila berpuashati bahawa perintah itu adalah perintah yang patut diiktiraf sebagai sah bagi maksud-maksud undang-undang Negeri ini.

(4) Jika sesuatu lafaz talak di hadapan Mahkamah atau sesuatu perintah perceraian atau pembatalan, di mana jua telah diberi, telah membubarkan sesuatu perkahwinan yang telah diakadnikahkan dalam Negeri ini dan yang telah di daftarkan di bawah peruntukan-peruntukan Enakmen ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuatkuasa pada masa itu, Pendaftar yang berkenaan atau Ketua Pendaftar hendaklah, apabila mendaftarkan talak atau perintah itu, mengarahkan supaya catatan dalam Buku Daftar Nikah mengenai perkahwinan itu ditandakan dengan "dibubarkan" dan dengan rujukan mengenai pembicaraan dalam mana talak itu telah di lafazkan atau perintah itu telah diberi.

(5) Apabila mendaftarkan sesuatu talak atau perintah perceraian atau pembatalan itu dan apabila dibayar kepadanya bayaran yang ditetapkan, Ketua Pendaftar hendaklah mengeluarkan Sijil Cerai dalam borang yang ditetapkan kepada kedua-dua pihak itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.