ENAKMEN 2 TAHUN 1985
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI PULAU PINANG) 1985

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Seksyen 28. Perlantikan Ketua Pendaftar, Pendaftar, Timbalan, dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam.

(1) Yang di-Pertuan Agong boleh melantik mana-mana pegawai awam yang berkelayakan untuk menjadi Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini yang mana adalah berkuasa menjalankan penyeliaan dan kawalan ke atas Pendaftar-Pendaftar dan pendaftaran perkahwinan, perceraian, dan ruju' di bawah Enakmen ini.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh melantik beberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Pendaftar, Timbalan Pendaftar, atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi mana-mana kariah masjid dalam Negeri Pulau Pinang sebagaimana ditentukan dalam perlantikan itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, melalui pemberitahuan dalam
Warta, melantik mana-mana anggota staf diplomatik Malaysia di mana-mana negara untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini di negara itu.

(4) Tiap-tiap orang yang dilantik di bawah subseksyen (1) yang bukan pegawai awam hendaklah disifatkan sebagai pegawai awam bagi maksud-maksud Kanun Keseksaan [N.M.B. Bab 45.].




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.