ENAKMEN 2 TAHUN 1989
ENAKMEN PENTADBIRAN PERUNDANGAN ISLAM 1989
BAHAGIAN III - MAHKAMAH SYARIAH
Seksyen 44. Rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah.
(1) Suatu rayuan hendaklah ditujukan kepada Mahkamah Tinggi Syariah dari keputusan Mahkamah Rendah Syariah:
(a)
dalam bidangkuasa jenayah, oleh pendakwa atau oleh orang yang telah sabit kesalahan, dan rayuan ini bolehlah terhadap pembebasan, sabitan atau hukuman atau mana-mana satu daripada yang tersebut itu;
(b)
dalam bidang kuasa Mal -
(i) oleh mana-mana orang yang terkilan oleh keputusan itu, jika jumlah yang dituntut itu tidak kurang daripada lima ratus ringgit;
(ii) dalam semua kes yang melibatkan mana-mana keputusan mengenai status peribadi, oleh mana-mana orang yang terkilan oleh keputusan itu;
(iii) dalam semua kes yang berkaitan dengan nafkah tanggungan oleh mana-mana orang yang terkilan oleh keputusan itu.
Dengan syarat bahawa tiada suatu rayuan boleh dibuat terhadap keputusan yang telah dibuat dengan persetujuan; dan
(c)
dalam kes-kes lain, jika Mahkamah Tinggi Syariah memberi kebenaran membuat rayuan.
(2) Dalam mana-mana rayuan Mahkamah Tinggi Syariah boleh:
(a)
dalam perkara jenayah, menolak rayuan, mensabitkan dan menghukum pihak yang merayu, memerintahkan Mahkamah yang membicarakan kes itu memanggil kes pembelaan atau membuat siasatan lanjut, menambah atau meminda bentuk hukuman itu, memerintahkan pembicaraan semula, atau meminda, atau membatalkan sebarang perintah oleh Mahkamah yang membicarakan kes itu;
(b)
dalam perkara Mal, mengesahkan, membatalkan atau mengubah keputusan Mahkamah yang membicarakan kes itu, menjalankan mana-mana kuasa tersebut sebagaimana Mahkamah yang membicarakan boleh melaksanakannya, membuat perintah sebagaimana Mahkamah yang membicarakan sepatutnya membuatnya, atau memerintahkan pembicaraan semula.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.