ENAKMEN 8 TAHUN 1983
ENAKMEN KELUARGA ISLAM 1983

BAHAGIAN II - PERKAHWINAN DAN PENDAFTARAN



Seksyen 10. Permohonan dan kebenaran kahwin.

(1) Pendaftar tidak boleh menjalankan mana-mana perkahwinan melainkan setelah menerima permohonan daripada pihak lelaki dan pihak perempuan melalui Borang 1A dan 1B dalam Jadual Kedua dan permohonan itu hendaklah sampai kepada Pendaftar dalam tempoh tidak kurang daripada tujuh hari sebelum perkahwinan itu dijalankan, kecuali perkahwinan itu mustahak dijalankan dengan segera oleh sebab-sebab yang tertentu yang tidak dapat dielakkan dan didapati munasabah pada pendapat Kadi.

(2) Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan melainkan suatu kebenaran mengikut Borang 1C untuk perkahwinan itu yang dikeluarkan oleh Ketua Pendaftar atau Pendaftar-Pendaftar yang berkenaan telah diserahkan kepada kedua-dua pihak dalam perkahwinan itu.

(3) Pendaftar tersebut tidak boleh mengakadnikahkan mana-mana orang yang datang daripada luar Negeri kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kadi di tempat orang yang hendak dinikahkan itu lazimnya tinggal:

Dengan syarat bahawa jika tempat sedemikian itu tidak mempunyai Kadi maka kebenaran itu hendaklah diperolehi dari mana-mana pihak yang berkuasa di tempat itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.