ENAKMEN 2 TAHUN 1984
ENAKMEN ATURCARA MAL ISLAM 1979

BAHAGIAN XXII - PERLAKSANAAN OLEH MAHKAMAH-MAHKAMAH LAIN



Seksyen 182. Perlaksanaan oleh Mahkamah.

(1) Apabila perintah perlaksanaan telah dikeluarkan, atau pengembalian telah dilakukan pada tiap-tiap perintah perlaksanaan yang dikeluarkan, Mahkamah boleh menghantar hukuman itu kepada mana-mana Mahkamah yang sama bidangkuasanya, dan memohon supaya hukuman itu dilaksanakan.

(2) Perintah tersebut boleh dibuat atas alasan kesenangan dan mengurangkan perbelanjaan, tanpa hiraukan bahawa Mahkamah yang meminta itu boleh dengan sendirinya melaksanakan hukuman itu dengan cara yang sama dan terhadap harta yang sama seperti Mahkamah yang menerima permintaan itu.

(3) Apabila perintah tersebut dibuat, pembicaraan di bawah seksyen 130 atau Bahagian XIX atau XX tidak boleh dilakukan dalam Mahkamah yang meminta itu sebelum pengembalian permintaan itu.

(4) Permintaan itu hendaklah dibuat dalam borang yang ditetapkan dan hendaklah disertakan dengan suatu salinan hukuman yang diperakukan.

(5) Mahkamah yang menerima hendaklah memfail dan mendaftarkan pembicaraan itu dan kemudiannya melaksanakan hukuman itu secara menyeluruh seolah-olah ianya telah dikeluarkan oleh Mahkamah yang menerima itu dan boleh secara yang sama meneruskan di bawah seksyen 130, Bahagian XX dan Bahagian XXIV.

(6) Mahkamah yang menerima hendaklah dengan sendirinya menyelenggarakan pendapatan dari perlaksanaan. Untuk tujuan tersebut hukuman itu hendaklah mempunyai keutamaan sama dengan tarikh dan masa pembicaraan itu difail dan didaftar dalam Mahkamah yang menerima itu.

(7) Mahkamah yang menerima hendaklah terikat dengan mana-mana perintah Mahkamah Rayuan seperti juga Mahkamah yang meminta itu.

(8) Apabila selesai pembicaraan dalam Mahkamah yang menerima itu, Mahkamah tersebut hendaklah menghantar kepada Mahkamah yang meminta suatu pengembalian permintaan itu dalam borang yang ditetapkan, dan jika perlu, suatu laporan mengenai keputusan mana-mana pembicaraan sampingan.

(9) Jika hukuman itu tidak disempurnakan, Mahkamah yang meminta itu boleh mengeluarkan suatu permintaan kepada Mahkamah lain, atau dengan alasan yang mencukupi boleh mengeluarkan, permintaan selanjutnya kepada Mahkamah itu juga, tetapi kedua-dua permintaan itu tidak boleh tertangguh serentak.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.