ENAKMEN 4 TAHUN 1994
KANUN ACARA JENAYAH (SYARIAH) 1994

BAHAGlAN II - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM MENGENAI MAHKAMAH JENAYAH
BAB III - DARIHAL MENANGKAP, MELARIKAN DIRI DAN MENANGKAP SEMULA



Seksyen 10. Menggeledah tempat yang dimasuki oleh orang yang hendak ditangkap.

(1) Jika mana-mana orang yang bertindak menurut waran tangkap atau mana-mana Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis, yang ada kuasa untuk menangkap, mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa mana-mana orang yang hendak ditangkap itu telah masuk ke dalam atau berada di dalam mana-mana tempat, maka orang yang tinggal di tempat itu atau yang menjaga tempat itu hendaklah, apabila dikehendaki oleh orang yang bertindak seperti yang disebut terdahulu itu atau Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis itu, membenarkannya bebas masuk ke dalamnya dan memberikan segala kemudahan yang munasabah untuk menjalankan penggeledahan di dalamnya.

(2) Jika tempat itu tidak dapat dimasuki menurut subseksyen yang terdahulu maka, dalam mana-mana hal seseorang yang bertindak menurut waran dan dalam mana-mana hal yang waran boleh dikeluarkan tetapi tidak boleh didapati tanpa memberi orang yang hendak ditangkap itu peluang untuk melarikan diri, adalah sah bagi Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis untuk rnemasuki tempat itu dan menggeledah di dalamnya, dan, untuk mendapatkan jalan masuk ke tempat itu, memecah buka mana-mana pintu atau tingkap luar atau dalam mana-mana tempat sama ada tempat itu dipunyai oleh orang yang hendak ditangkap itu atau oleh mana-mana orang lain jika, setelah memberitahu kuasa dan maksudnya dan setelah tuntutan hendak masuk dibuat dengan sewajarnya, dia tiada jalan lain lagi untuk memasukinya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.