ENAKMEN 5 TAHUN 2003
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI SELANGOR) 2003
BAHAGIAN I - KERELEVENAN
BAB 2 - QARINAH
Bila Penghakiman Mahkamah menjadi Qarinah
Seksyen 29. Bila penghakiman tertentu dalam bidang kuasa probet, dsb. ialah qarinah.
(1) Sesuatu penghakiman, perintah atau dekri muktamad yang dibuat oleh Mahkamah pada menjalankan bidang kuasa probet atau hal-ehwal suami isteri, yang memberikan kepada atau melucutkan daripada mana-mana orang apa-apa sifat di sisi undang-undang, atau yang menetapkan mana-mana orang menjadi berhak kepada mana-mana sifat itu, atau berhak kepada apa-apa benda tertentu, bukan terhadap mana-mana orang tertentu tetapi dengan mutlaknya, ialah
qarinah
apabila kewujudan apa-apa sifat di sisi undang-undang itu atau kewujudan hak mana-mana orang sedemikian terhadap apa-apa benda sedemikian ialah
qarinah.
(2) Penghakiman, perintah atau dekri sedemikian ialah bukti konklusif—
(a)
bahawa apa-apa sifat di sisi undang-undang yang diberikan olehnya kepada mana-mana orang terakru pada masa penghakiman, perintah, atau dekri itu mula berkuat kuasa;
(b)
bahawa apa-apa sifat di sisi undang-undang yang kepadanya mana-mana orang sedemikian ditetapkan olehnya menjadi berhak terakru kepada orang itu pada masa ia ditetapkan oleh penghakiman, perintah atau dekri itu sebagai terakru kepada orang itu;
(c)
bahawa apa-apa sifat di sisi undang-undang yang dilucutkan olehnya daripada mana-mana orang sedemikian terhenti dari masa ia ditetapkan oleh penghakiman, perintah atau dekri itu sebagai telah atau patut terhenti; dan
(d)
bahawa apa-apa jua yang kepadanya mana-mana orang ditetapkan olehnya sebagai berhak sedemikian ialah harta orang itu dari masa ia ditetapkan oleh penghakiman, perintah atau dekri itu sebagai telah atau patut menjadi harta orang itu.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.