ENAKMEN 14 TAHUN 1992
ENAKMEN MAHKAMAH SYARIAH 1992
BAHAGIAN II - MAHKAMAH SYARIAH
PENUBUHAN DAN BIDANG KUASA
Seksyen 10. Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah.
(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.
(2) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah -
(a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1992, mana-mana undang-undang bertulis yang menetapkan kesalahan-kesalahan jenayah Syariah, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1992, atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang memberi kepada Mahkamah Tinggi Syariah bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukkan di dalamnya; dan
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan berhubung dengan -
(i) pertunangan, perkahwinan, perceraian, fasakh, atau faraq;
(ii) apa-apa pelupusan, atau tuntutan kepada harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i) perenggan ini;
(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadanah) anak-anak;
(iv) pembahagian atau tuntutan kepada harta sepencarian;
(v) wasiat atau pemberian semasa maradal-maut seseorang si mati Islam;
(vi) pemberian
intervivos
(hibah), atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan wang atau nilaian yang memadai oleh seseorang Islam;
(vii) wakaf atau nazar;
(viii) pembahagian dan pewarisan harta, berwasiat atau tak berwasiat;
(ix) hal menentukan seseorang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati Islam atau bahagian-bahagian yang orang-orang itu masing-masing berhak; atau
(x) perkara-perkara lain yang berkenaan di mana bidang kuasa diberi oleh mana-mana undang-undang bertulis.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.