ENAKMEN 9 TAHUN 1993
ENAKMEN PROSEDUR MAL SYARIAH 1993

BAHAGIAN XXI - SAMAN PENGHUTANG PENGHAKIMAN



Seksyen 173. Perlaksanaan oleh Mahkamah-mahkamah lain.

(1) Mahkamah boleh meminta mana-mana Mahkamah yang sama bidangkuasanya atau mana-mana Mahkamah bawahan yang lain melaksanakan mana-mana penghakiman jika ia berpendapat bahawa ada kemungkinan penghakiman itu tidak boleh disempurnakan jika ia tidak berbuat demikian.

(2) Permintaan tersebut boleh dibuat atas alasan kesenangan dan mengurangkan perbelanjaan tanpa menghiraukan bahawa Mahkamah yang meminta itu boleh dengan sendirinya melaksanakan penghakiman itu dengan cara yang sama dan terhadap harta yang sama seperti Mahkamah yang menerima permintaan itu.

(3) Apabila permintaan tersebut dibuat, prosiding di bawah seksyen 128 atau Bahagian XIX atau XX tidak boleh dilakukan dalam Mahkamah yang meminta itu sebelum pengembalian permintaan itu.

(4) Permintaan itu hendaklah dibuat dalam borang yang ditetapkan dan hendaklah disertakan dengan satu salinan penghakiman yang diperakukan.

(5) Mahkamah yang menerima hendaklah memfail dan mendaftarkan prosiding itu dan kemudiannya melaksanakan penghakiman itu secara menyeluruh seolah-olah ianya telah dikeluarkan oleh Mahkamah yang menerima itu dan boleh dengan secara yang sama meneruskan di bawah seksyen 128 Bahagian XX dan Bahagian XXIII.

(6) Mahkamah yang menerima hendaklah dengan sendirinya mengendalikan mana-mana prosiding perlaksanaan. Bagi maksud tersebut penghakiman hendaklah mempunyai keutamaan sama dengan tarikh dan masa kemasukan prosiding itu dalam Mahkamah yang menerima itu.

(7) Mahkamah yang menerima hendaklah terikat dengan mana-mana perintah Mahkamah Rayuan seperti juga Mahkamah yang meminta itu.

(8) Apabila selesai prosiding dalam Mahkamah yang menerima itu, Mahkamah tersebut hendaklah menghantar kepada Mahkamah yang meminta satu pengembalian permintaan itu dalam borang yang ditetapkan dan jika perlu, satu laporan mengenai keputusan mana-mana prosiding sampingan.

(9) Jika penghakiman itu tidak disempurnakan, Mahkamah yang meminta itu boleh mengeluarkan satu permintaan kepada Mahkamah lain, atau dengan alasan yang mencukupi boleh mengeluarkan permintaan selanjutnya kepada Mahkamah itu juga, supaya kedua-dua permintaan itu tertangguh serentak.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.