ENAKMEN 4 TAHUN 2004
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (PERAK) 2004
BAHAGIAN II - MAJLIS AGAMA ISLAM DAN 'ADAT MELAYU PERAK
Seksyen 7. Kewajipan Majlis tentang kemajuan ekonomi dan sosial orang Islam.
(1) Maka hendaklah menjadi kewajipan Majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan selaras dengan Hukum Syarak.
(2) Majlis hendaklah mempunyai kuasa, bagi maksud menunaikan kewajipannya di bawah subseksyen (1)
--
(a)
untuk menjalankan segala aktiviti, yang tidak melibatkan apa-apa unsur yang tidak dibenarkan oleh agama Islam, khususnya memajukan perusahaan komersial dan perindustrian, yang perjalanannya ternyata kepada Majlis adalah perlu, berfaedah atau menyenangkan bagi atau berkaitan dengan penunaian kewajipan yang sedemikian, termasuklah membuat, memasang, memproses, membungkus, menggred dan memasarkan keluaran-keluaran;
(b)
untuk menggalakkan penjalanan apa-apa kegiatan sedemikian oleh badan-badan atau orang lain, dan bagi maksud itu untuk menubuhkan atau memperkembang, atau menggalakkan penubuhan atau perkembangan, badan-badan lain untuk menjalankan apa-apa kegiatan sedemikian sama ada di bawah kawalan atau kawalan separa oleh Majlis atau secara bebas, dan untuk memberikan bantuan kepada badan-badan itu atau badan-badan atau orang lain yang ternyata kepada Majlis mempunyai kemudahan untuk menjalankan apa-apa kegiatan yang sedemikian, termasuklah pemberian bantuan kewangan dengan cara pinjaman atau selainnya;
(c)
untuk menjalankan apa-apa kegiatan sedemikian bersama badan-badan atau orang lain, termasuklah jabatan-jabatan atau pihak-pihak berkuasa Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan mana-mana Negeri atau sebagai ejen pengurus atau selainnya bagi pihak Kerajaan Negeri;
(d)
untuk melabur dalam apa-apa pelaburan yang dibenarkan sebagaimana yang ditakrifkan oleh Akta Pemegang Amanah 1949 dan melupuskan pelaburan itu atas apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh Majlis;
(e)
untuk menubuhkan apa-apa skim bagi pemberian biasiswa atau pinjaman daripada Baitulmal kepada individu beragama Islam bagi pendidikan tinggi;
(f)
untuk menubuhkan dan menyenggarakan sekolah-sekolah Islam dan institusi-inst itusi latihan, kemahiran dan penylidikan Islam;
(g)
untuk menubuhkan, menyenggarakan dan menguruskan rumah-rumah kebajikan; dan
(h)
untuk melakukan segala perbuatan yang difikirkan oleh Majlis dikehendaki atau suaimanfaat.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.