ENAKMEN 4 TAHUN 1994
KANUN ACARA JENAYAH (SYARIAH) 1994
BAHAGlAN II - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM MENGENAI MAHKAMAH JENAYAH
BAB II - DARIHAL MAHKAMAH JENAYAH
Seksyen 6. Bidang kuasa jenayah Hakim Syarie.
Tertakluk kepada peruntukan Kanun ini, tiap-tiap Hakim Syarie hendaklah mengambil ketahui dan mempunyai kuasa untuk-
(a) mendengar, membicarakan, memutuskan dan melupuskan pendakwaan apa-apa kesalahan yang dilakukan pada keseluruhannya atau sebahagiannya di dalam bidang kuasa tempatan Hakim itu dan yang boleh diambil ketahui oleh Hakim itu;
(b) menyiasat aduan-aduan tentang kesalahan-kesalahan dan menyaman serta memeriksa saksi-saksi mengenai kesalahan-kesalahan itu dan menyaman serta menangkap dan mengeluarkan waran bagi penangkapan penjenayah-penjenayah dan pesalah-pesalah dan memperlakukan mereka mengikut undang-undang;
(c) mengeluarkan waran untuk menggeledah atau menyebabkan digeledah tempat-tempat yang di dalamnya apa-apa barang atau benda yang dengannya atau berkenaan dengannya apa-apa kesalahan telah dilakukan adalah dikatakan ada disimpan atau disembunyikan;
(d) menghendaki mana-mana orang supaya memberikan jaminan akan berkelakuan baik mengikut undang-undang; dan
(e) melakukan semua hal dan perkara lain yang seseorang Hakim diberi kuasa untuk melakukan oleh mana-mana undang-undang bertulis.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.