ENAKMEN 11 TAHUN 1988
ENAKMEN KAWALAN DAN SEKATAN PENGEMBANGAN AGAMA BUKAN ISLAM 1988

BAHAGIAN II - KESALAHAN-KESALAHAN



Seksyen 5. Kesalahan mendedahkan orang Islam berumur di bawah lapan belas tahun kepada pengaruh agama bukan Islam.

(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan, atau membiarkan mana-mana orang lain di bawah umur lapan belas tahun yang beragama Islam supaya menerima ajaran dalam bidang agama bukan Islam, atau supaya menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan agama bukan Islam atau apa-apa aktiviti yang dianjurkan atau dikelolakan oleh atau yang dijalankan untuk faedah suatu agama bukan Islam atau apa-apa badan atau institusi yang bertalian dengan suatu agama bukan Islam.

(2) Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen-kecil (1) apabila disabitkan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak melebihi empat tahun, dan bagi kesalahan kedua atau kesalahan yang berikutnya, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun.

(3) Adalah menjadi suatu pembelaan terhadap pertuduhan di bawah seksyen-kecil (1) bahawa orang yang dituduh itu, sebelum kesalahan yang dikatakan itu, telah diberitahu oleh ibu, bapa, atau penjaga orang yang berumur di bawah lapan belas tahun itu bahawa orang itu bukanlah orang Islam.

(4) Adalah tidak menjadi suatu pembelaan terhadap pertuduhan di bawah seksyen-kecil (1) bahawa orang yang dituduh itu, sebelum kesalahan yang dikatakan itu, tidak diberitahu oleh ibu, bapa atau penjaga orang yang berumur di bawah lapan belas tahun itu akan agama itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.