ENAKMEN 11 TAHUN 1988
ENAKMEN KAWALAN DAN SEKATAN PENGEMBANGAN AGAMA BUKAN ISLAM 1988

BAHAGIAN II - KESALAHAN-KESALAHAN



Seksyen 6. Kesalahan mendekati orang Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai agama bukan Islam.

(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia mengunjungi, atau mengatur atau berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengan, atau menghubungi dengan telefon, seorang lain yang beragama Islam dan yang kepadanya orang itu adalah seorang asing, bagi maksud mendedahkan orang lain itu kepada apa-apa ucapan, atau pertunjukan sesuatu mengenai agama bukan Islam.

(2) Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen-kecil (1) apabila disabitkan, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan bagi kesalahan kedua atau kesalahan yang berikutnya, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak melebihi empat tahun.

(3) Dalam pendakwaan atas suatu kesalahan di bawah seksyen-kecil (1), maksud orang yang dituduh itu mengunjungi, atau mengatur atau berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengan, atau menghubungi orang lain itu hendaklah dianggap sebagai maksud mendedahkan orang lain itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai agama bukan Islam jika, memandangkan pada keseluruhannya kepada semua yang telah berlaku dalam masa kunjungan, perjumpaan, atau percakapan telefon itu, adalah didapati tanpa keraguan yang munasabah bahawa maksud itu adalah maksud orang yang dituduh itu yang sebenar atau satu daripada maksud-maksudnya yang sebenar walaupun, dalam masa kunjungan, perjumpaan, atau percakapan telefon itu, perkara-perkara atau hal-hal selain dari yang berkaitan dengan maksud itu juga disebut atau dilakukan atau perkara-perkara atau hal-hal yang berkaitan dengan maksud itu tidak disebut atau dilakukan sebanyak perkara-perkara lain.

(4) Bagi maksud-maksud seksyen-kecil (1), seseorang yang dengannya seorang lain dahulunya tidak pernah bercakap, atau telah bercakap hanya sambil lalu sahaja atau seseorang yang dengannya seorang lain pernah ada hanya urusan niaga, rasmi, atau informal sahaja dahulunya, atau seseorang yang tidak boleh dianggap walaupun sebagai orang kenalan seorang lain, hendaklah dianggap sebagai orang asing kepada orang lain itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.