ENAKMEN 10 TAHUN 1993
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH 1993

BAHAGIAN IV - PROSIDING PENDAKWAAN
BAB XI - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM BERKENAAN DENGAN PERBICARAAN



Seksyen 103. Mahkamah bolehlah mengemukakan soalan-soalan kepada yang dituduh.

(1) Untuk tujuan membolehkan orang yang dituduh itu menerangkan mengenai apa-apa keadaan yang nyata yang menjadi keterangan terhadapnya, Mahkamah boleh, pada mana-mana peringkat perbicaraan itu, tanpa memberi amaran terlebih dahulu kepada orang yang dituduh, mengemukakan soalan-soalan kepadanya sebagaimana Mahkamah fikirkan mustahak.

(2) Jawapan yang diberikan oleh orang yang dituduh bolehlah dipertimbangkan dalam perbicaraan itu dan dijadikan sebagai keterangan bagi atau terhadapnya dalam mana-mana juga perbicaraan kerana sebarang kesalahan lain yang mana jawapan itu menunjukkan ia telah melakukannya.

(3) Pemeriksaan orang yang dituduh itu hendaklah bertujuan untuk membolehkan ia menerangkan sebarang hal-keadaan yang nampaknya menjadi keterangan terhadapnya dan hendaklah tidak boleh merupakan sebagai pemeriksaan am.

(4) Budibicara yang diberikan melalui seksyen ini untuk menyoal seseorang yang dituduh tiadalah boleh dijalankan dengan tujuan mendorongkannya memberi pernyataan-pernyataan yang memudaratkan dirinya sendiri.

(5) Soalan-soalan tidak boleh dikemukakan kepada orang yang dituduh oleh Mahkamah semata-mata untuk menyokong kes pendakwaan.

(6) Jika orang yang dituduh diperiksa di bawah seksyen ini oleh Mahkamah, maka semua pemeriksaan itu termasuk tiap-tiap soalan yang dikemukakan kepadanya dan tiap-tiap jawapan yang diberikan olehnya hendaklah direkodkan dengan sepenuhnya, dan rekod itu hendaklah ditunjuk atau dibacakan kepadanya atau jika ia tidak faham bahasa yang digunakan hendaklah diterjemahkan atau diterangkan kepadanya dalam bahasa atau isyarat yang ia boleh faham dan ia adalah bebas untuk menerangkan atau menambah kepada jawapan-jawapan itu.

(7) Apabila keseluruhan pemeriksaan itu telah menepati dengan apa yang dikatakan oleh orang yang dituduh sebagai benar, maka rekod itu hendaklah ditandatangani oleh Hakim yang membicarakannya.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.