ENAKMEN 3 TAHUN 1994
ENAKMEN KETERANGAN (MAHKAMAH SYARIAH) 1994

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN
BAB VII - SAKSI



Seksyen 87. Siapa boleh memberi keterangan.

(1) Tertakluk kepada Hukum Syara' dan peruntukan-peruntukan seksyen ini, semua orang Islam adalah layak memberi syahadah atau baiyinah dengan syarat mereka hendaklah sempurna akal, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak menimbulkan tohmah.

(2) Orang yang bukan Islam layak memberi baiyinah bagi orang Islam jika keterangan yang diberi itu boleh diterima mengikut Hukum Syara'.

    Huraian-
(a) Baiyinah seorang pakar bukan Islam terhadap seorang Islam boleh diterima jika perlu.

(b) Seorang yang buka Islam adalah layak memberi baiyinah bagi seorang bukan Islam yang lain.

(3) Orang yang tidak bersifat adil adalah layak memberi baiyinah tetapi tidak layak memberi syahadah.

(4) Kanak-kanak yang belum baligh atau seorang baligh tetapi terencat atau tak sempurna akal adalah layak memberi baiyinah tetapi tidak layak memberi syahadah.

(5) Orang yang diketahui mempunyai ingatan yang lemah atau yang pelupa atau yang salah ingatan adalah layak memberi baiyinah tetapi tidak layak memberi syahadah.

(6) Orang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan baiknya dengan dan ada kepentingannya terhadap mana-mana pihak yang berlawan adalah layak memberi baiyinah tetapi tidak layak memberi syahadah.

(7) Orang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan buruknya dengan mana-mana pihak yang berlawanan adalah layak memberi baiyinah tetapi tidak layak memberi syahadah.

(8) Seseorang itu adil jika dia termaklum menunaikan kewajipan agamanya, menjauhi daripada dosa-dosa besar dan tidak mengekalkan dosa-dosa kecil. Seseorang saksi itu dianggap adil sehingga dibuktikan sebaliknya. Jika saksi itu seorang bukan Islam dia mestilah boleh dipercayai mengikut agamanya atau kepercayaannya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.