ENAKMEN 7 TAHUN 2002
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI MELAKA) 2002

BAHAGIAN IV - MAHKAMAH SYARIAH



Seksyen 63. Tindakan bersaing.

(1) Jika Mahkamah Syariah dalam mana-mana Negeri di Malaysia mengeluarkan waran atau saman, mengikut mana-mana yang berkenaan, di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dalam Negeri itu, untuk dilaksanakan ke atas atau disampaikan kepada mana-mana orang yang berada atau dipercayai berada dalam Negeri Melaka, maka mana-mana Hakim Syarie boleh mengendorskan waran atau saman itu dengan menandatanganinya dan waran atau saman itu boleh dilaksanakan ke atas atau disampaikan kepada orang itu seolah-olah waran atau saman itu telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah dalam Negeri Melaka mengikut peruntukan Enakmen ini.

(2) Jika Mahkamah Syariah dalam Negeri Melaka mengeluarkan waran yang memberikan kuasa untuk menangkap mana-mana orang, atau saman yang memanggil mana-mana orang supaya hadir di Mahkamah Syariah, dan orang itu berada atau dipercayai berada dalam Negeri lain di Malaysia dan waran atau saman itu telah dilaksanakan ke atas atau disampaikan kepada orang itumengikut mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa dalam Negeri itu, maka waran atau saman itu hendaklah bagi maksud Enakmen ini disifatkan telah dilaksanakan atau disampaikan dengan sah seolah-olah pelaksanaan atau penyampaian itu telah dilaksanakan atau disempurnakan dalam Negeri Melaka.

(3) Jika Mahkamah Syariah dalam mana-mana Negeri di Malaysia membuat suatu perintah atau penghakiman di bawah peruntukan mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa dalam Negeri itu terhadap seseorang dan orang itu berada atau dipercayai berada dalam Negeri Melaka, maka Hakim Syarie, jika dia berpuas hati bahawa perintah atau penghakiman itu telah dikeluarkan dengan sempurna oleh suatu Mahkamah Syariah yang berwibawa dalam mana-mana Negeri di Malaysia, boleh mengendorskan perintah atau penghakiman itu dan perintah atau penghakiman itu bolehlah kemudiannya dilaksanakan atau disampaikan, mengikut mana-mana yang berkenaan, seolah-olah perintah atau penghakiman itu telah dikeluarkan dengan sah oleh Mahkamah Syariah dalam Negeri Melaka mengikut peruntukan Enakmen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.