ORDINAN 45 TAHUN 2001
ORDINAN TATACARA JENAYAH SYARIAH, 2001

BAHAGIAN III - PERUNTUKAN AM YANG LAIN
BAB 2 - DARIHAL MENANGKAP, MELARIKAN DIRI DAN MENANGKAP SEMULA



Seksyen 19. Enggan memberikan nama dan kediaman.

(1) Apabila mana-mana orang melakukan atau dituduh melakukan suatu kesalahan tak boleh ditangkap di hadapan seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis dan enggan, apabila dikehendaki oleh Pegawai Penguatkuasa Agama dan pegawai polis itu, untuk memberikan nama atau kediamannya yang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis itu ada sebab untuk mempercayai adalah palsu, dia boleh ditangkap oleh Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis itu untuk membolehkan nama dan kediamannya ditentukan, dan dia hendaklah, dalam masa dua puluh empat hari dari waktu dia ditangkap, tidak termasuk masa yang diperlukan bagi perjalanan dari tempat penangkapan itu, dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang terdekat melainkan jika sebelum itu nama dan kediamannya yang sebenar telah ditentukan dan dalam hal sedemikian orang itu hendaklah dilepaskan dengan serta-merta apabila dia menyempurnakan suatu bon untuk hadir di hadapan seorang Hakim jika dikehendaki sedemikian.

(2) Apabila mana-mana orang dibawa ke hadapan seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah di bawah subseksyen (1), Hakim itu boleh menghendaki supaya dia menyempurnakan suatu bon, dengan penjamin, untuk hadir di hadapan seorang Hakim jika dikehendaki sedemikian, atau boleh memerintahkan supaya dia ditahan dalam jagaan sehingga dia boleh dibicarakan.

(3) Apabila mana-mana orang melakukan atau dituduh melakukan suatu kesalahan tak boleh tangkap di hadapan seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis dan apabila diminta oleh Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis itu supaya memberikan nama dan kediamannya, memberikan pula suatu tempat di luar Negeri sebagai kediamannya, dia boleh ditangkap oleh Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis itu dan hendaklah dengan seta-merta di bawa ke hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang terdekat yang boleh menghendaki supaya dia menyempurnakan suatu bon, dengan penjamin, untuk hadir di hadapan seorang Hakim jika dikehendaki sedemikian, atau yang boleh memerintahkan supaya dia ditahan dalam jagaan sehingga dia boleh dibicarakan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.