ENAKMEN 3 TAHUN 1994
ENAKMEN KETERANGAN (MAHKAMAH SYARIAH) 1994

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN
BAB VIII - PEMERIKSAAN SAKSI



Seksyen 119. Pengemukaan dokumen dan terjemahannya.

(1) Seseorang saksi yang dipanggil supaya hadir bagi mengemukakan sesuatu dokumen hendaklah, jika dokumen itu ada dalam milikannya atau di bawah kuasanya, membawa dokumen itu ke Mahkamah walau apa pun apa-apa bantahan yang mungkin ada tentang pengemukaannya atau kebolehterimaannya. Sah atau tidaknya sesuatu bantahan itu hendaklah diputuskan oleh Mahkamah.

(2) Mahkamah boleh, jika ia fikirkan patut, memeriksa dokumen itu melainkan jika dokumen itu adalah berkenaan dengan hal ehwal Negara, atau mengambil keterangan lain bagi membolehkannya menentukan tentang kebolehterimaannya.

(3) Jika bagi maksud itu sesuatu dokumen perlu diterjemahkan, Mahkamah boleh, jika ia fikirkan patut mengarahkan penterjemahnya supaya merahsiakan kandungan dokumen itu melainkan jika dokumen itu akan diberi sebagai keterangan, dan jika penterjemah itu mengingkari arahan itu dia adalah telah melakukan suatu kesalahan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.