ENAKMEN 5 TAHUN 2004
ENAKMEN WASIAT ORANG ISLAM (NEGERI SEMBILAN) 2004

VI - PERUNTUKAN YANG BERHUBUNG DENGAN BENEFISIARI



Seksyen 22. Bekues kepada benefisiari yang tidak wujud.

(1) Sesuatu wasiat boleh dibuat kepada benefisiari yang tidak wujud dan kepada sekumpulan bilangan tertentu benefisiari yang sebahagiannya wujud dan yang sebahagian lagi tidak wujud.

(2) Jika mana-mana benefisiari yang disebut dalam subseksyen (1) tidak wujud semasa kematian pewasiat, maka waris-warisnya berhak kepada hasil harta pusaka itu atau manfaatnya.

(3) Jika terdapat seorang sahaja benefisiari yang wujud daripada beberapa orang benefisiari semasa kematian pewasiat atau selepas itu, harta pusaka itu hendaklah diberikan kepada orang yang wujud pada masa itu sehingga muncul benefisiari yang lain, dan dari masa itu, harta pusaka itu hendaklah dibahagikan antara mereka dan jika seorang daripada mereka mati, bahagian orang yang mati itu hendaklah menjadi sebahagian daripada harta pusakanya.

(4) Jika terdapat seorang benefisiari sahaja, maka dia berhak kepada keseluruhan harta pusaka itu melainkan jika terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa pewasiat sebenarnya bertujuan untuk membekues harta itu kepada beberapa orang benefisiari, dan dalam hal keadaan sedemikian, benefisiari yang wujud itu hendaklah diberi bahagiannya sahaja dan bakinya hendaklah diberikan kepada benefisiari-benefisiari yang lain.

(5) Jika sesuatu bekues itu dibuat secara berperingkat-peringkat, semasa kematian pewasiat, bekues itu hendaklah diberikan kepada penerima peringkat pertama dan seterusnya sehingga habis semua harta pusaka itu dan bekues itu akan menjadi sebahagian daripada harta pusaka pewasiat jika penerima peringkat-peringkat itu tidak wujud lagi, melainkan jika terdapat keterangan yang menunjukkan bahawa harta pusaka itu telah dibekues kepada benefisiari-benefisiari yang lain.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.