ORDINAN 8 TAHUN 1991
ORDINAN KANUN ACARA JENAYAH SYARIAH 1991

BAHAGIAN II - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM MENGENAI MAHKAMAH JENAYAH
BAB IV
Kaedah-kaedah Lain Mengenai Saman untuk Hadir dan Waran Tangkap



Seksyen 39. Saman untuk hadir dan waran tangkap boleh dilaksanakan di mana-mana tempat di Malaysia.

(1) Saman untuk hadir dan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah boleh disampaikan atau dilaksanakan di mana-mana tempat dalam Malaysia: Dengan syarat bahawa saman tersebut tidaklah boleh diserahkan di luar kawasan bidang kuasa Mahkamah yang mengeluarkan saman itu kecuali saman itu dicatatkan oleh Mahkamah tersebut dengan perkataan "untuk penyampaian di luar bidang kuasa".

(2) Saman tersebut tidaklah boleh dicatatkan dengan perkataan "
untuk penyampaian di luar bidang kuasa" oleh Mahkamah yang mengeluarkannya kecuali Mahkamah telah berpuas hati bahawa terdapat alasan untuk membenarkan penyampaian yang demikian itu, yang mana alasan hendaklah direkodkan sebelum saman itu dicatatkan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.