ENAKMEN 6 TAHUN 1993
ENAKMEN ZAKAT DAN FITRAH 1993

BAHAGIAN VI - TAKSIRAN DAN RAYUAN
BAB II - RAYUAN



Seksyen 45. Hak merayu.

(1) Seseorang yang terkilan dengan taksiran yang dibuat berkenaan dengan dirinya boleh merayu kepada Pesuruhjaya Khas terhadap taksiran itu dengan memberi kepada Setiausaha Pesuruhjaya Khas dalam masa tiga puluh hari selepas penyampaian notis taksiran itu (atau dalam tempoh lanjutan berkenaan sebagaimana yang dibenarkan di bawah seksyen 46 suatu notis rayuan secara bertulis seperti dalam borang yang ditetapkan dengan menyatakan alasan-alasan rayuan itu dengan mengandungi apa-apa butir lain sebagaimana yang dikehendaki oleh borang itu.

(2) Jika suatu taksiran telah dibuat berkenaan dengan seseorang yang dilantik di bawah seksyen 23 sebagai agen kepada seorang yang lain yang boleh dikenakan, maka agen dan orang yang lain yang boleh dikenakan itu hendaklah bagi maksud seksyen ini dan peruntukan-peruntukan lain dalam Enakmen ini berhubungan dengan rayuan-rayuan tiap-tiap seorang itu dianggapkan sebagai orang yang berkenaan dengannya taksiran itu telah dibuat dan, jika kedua-dua mereka itu merayu terhadap taksiran itu, rayuan mereka itu hendaklah jika boleh diuruskan sekali:

Dengan syarat bahawa, dalam hal seorang penerima yang disifatkan oleh seksyen 23(3) sebagai telah dilantik di bawah seksyen 23(1) menjadi agen sesuatu Mahkamah, subseksyen ini tidaklah terpakai.

(3) Jika dalam hal yang seksyen 22 terpakai kepadanya, prinsipal telah merayu terhadap suatu taksiran, maka wakil, sama ada atau tidak dia sendiri telah merayu atau dia menjejaskan apa-apa kuasa yang diberikan kepadanya, boleh mewakili dan bertindak secara amnya bagi pihak prinsipal itu bagi maksud peruntukan-peruntukan Enakmen ini berhubung dengan rayuan ("prinsipal" dan "wakil" disini mempunyai erti yang sama seperti di dalam seksyen 22).




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.