ENAKMEN 4 TAHUN 1996
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB 1 - ORANG YANG TIDAK SIUMAN



Seksyen 180. Prosedur di mana tertuduh disyaki tidak siuman.

(1) ApabiIa seseorang Hakim yang menjalankan siasatan atau perbicaraan mempunyai sebab untuk mengsyaki bahawa orang tertuduh ialah seorang yang tidak siuman dan akibatnya tidak berupaya untuk membuat pembelaan, dia hendaklah pada mulanya menyiasat fakta ketidaksiuman itu.

(2) Semasa siasatan tersebut dijalankan orang tertuduh tidaklah perlu hadir dan Hakim bolehlah menerima sebagai keterangan satu perakuan bertulis yang ditandatangani oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan bahawa orang tertuduh itu pada pendapatnya adalah tidak siuman atau seorang yang wajar ditahan untuk pemerhatian di sebuah hospital mental atau jika ia fikirkan patut, Hakim tersebut boleh mengambil keterangan lisan daripada seorang Pegawai Perubatan Kerajaan tentang keadaan mental orang tertuduh itu.

(3) Jika Hakim itu tidak puas hati bahawa orang itu berupaya untuk membuat pembelaannya, Hakim itu boleh menundakan siasatan atau perbicaraan dan hendaklah menahan orang itu bagi suatu tempoh yang tidak boleh melebihi satu bulan untuk ditahan untuk pemerhatian di sebuah hospital mental di mana-mana juga di Malaysia.

(4) Penguasa Perubatan hospital mental itu hendaklah meletakkan orang tersebut di bawah pemerhatian selama tempoh tahanannya dan, sebelum tamat tempoh itu, hendaklah memperakui kepada Mahkamah pendapatnya tentang keadaan mental orang tersebut. Jika dalam tempoh itu dia tidak membuat apa-apa kesimpulan tertentu, dia hendaklah memperakui sedemikian kepada Mahkamah dan hendaklah memohon supaya tahanan orang tersebut dilanjutkan dan ia bolehlah dilanjutkan sehingga tempoh dua bulan.

(5) Pendakwa Syarie boleh di mana-mana peringkat prosiding sebelum perbicaraan, memerintahkan bahawa mana-mana orang tertuduh yang dia syaki siuman dihantar ke hospital mental untuk pemerhatian bagi suatu tempoh tidak melebihi satu bulan. Penguasa Perubatan hospital mental itu hendaklah meletakkan orang itu di bawah pemerhatian dalam tempoh yang tersebut dan sebelum tempoh itu tamat hendaklah memperakui kepada Pendakwa Syarie pendapatnya tentang keadaan mental orang itu; dan jika dalam masa itu Penguasa Perubatan tersebut tidak dapat membuat apa-apa kesimpulan tertentu ia hendaklah memperakui sedemikian kepada Pendakwa Syarie dan Pendakwa Syarie boleh memerintahkan orang itu ditahan di hospital mental itu bagi satu tempoh selanjutnya yang tidak boleh melebihi dua bulan.

(6) Penguasa Perubatan sesebuah hospital mental boleh, walau apa pun yang terkandung dalam Ordinan Sakit Mental 1952 [ Ord. 31/52. ], menahan mana-mana orang tertuduh yang terhadapnya satu perintah di bawah subseksyen (5) telah dibuat, untuk satu tempoh tidak melebihi tempoh yang ditetapkan dalam perintah tersebut.

(7) Jika Penguasa Perubatan mengesahkan bahawa orang tertuduh siuman dan berupaya untuk membuat pembelaannya, maka Hakim hendaklah meneruskan perbicaraan.

(8) Jika Penguasa Perubatan memperakui bahawa orang itu tidak siuman dan tidak berupaya membuat pembelaannya, Mahkamah hendaklah, jika berpuas hati tentang fakta itu, memutuskan sewajarnya dan kemudiannya menundakan perbicaraan.

(9) Perakuan Penguasa Perubatan itu hendaklah boleh diterimamasuk sebagai keterangan di bawah seksyen ini.

(10) Jika orang tertuduh diakui sebagai tidak siuman dan tidak berupaya untuk membuat pembelaannya, ia tidaklah perlu hadir di Mahkamah semasa prosiding di bawah seksyen ini dan Mahkamah boleh memerintahkan supaya ia dilepas atau dibebaskan.

(11) Dalam seksyen ini perkataan "hospital sakit mental" bererti hospital sakit mental yang ditubuhkan di bawah Ordinan Sakit Mental 1952.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.