ENAKMEN 4 TAHUN 1984
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM SELANGOR 1984

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Seksyen 28. Perlantikan Ketua Pendaftar, Timbalan, dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam.

(1) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik mana-mana pegawai awam yang berkelayakan untuk menjadi Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini, yang mana adalah berkuasa menjalankan penyeliaan dan kawalan ke atas Pendaftar-pendaftar dan pendaftar perkahwinan, perceraian, dan ruju' di bawah Enakmen ini.

(2) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik beberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Pendaftar, Timbalan Pendaftar atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi mana-mana kariah masjid dalam Negeri Selangor sebagaimana ditentukan dalam perlantikan itu.

(3) Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik mana-mana anggota staf di diplomatik Malaysia di mana-mana negara untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini di negara itu.

(4) Tiap-tiap orang yang dilantik di bawah seksyen-kecil (2) yang bukan pegawai awam hendaklah disifatkan sebagai pegawai awam bagi maksud-maksud Kanun Keseksaan [N.M.B Bab 45].




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.