ORDINAN 8 TAHUN 1991
ORDINAN KANUN ACARA JENAYAH SYARIAH 1991

BAHAGIAN III - MAKLUMAT KEPADA PEGAWAI PENGUATKUASA AGAMA DAN KUASA-KUASA MEREKA MENYIASAT
BAB VI



Seksyen 59. Pemeriksaan saksi-saksi oleh Pegawai Penguatkuasa Agama.

(1) Seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama yang membuat suatu penyiasatan di bawah Bab ini boleh memeriksa dengan lisan mana-mana orang yang dianggap mengetahui akan perkara dan keadaan kes itu dan hendaklah mencatatkan apa-apa kenyataan yang dibuat oleh orang yang diperiksa sedemikian itu.

(2) Orang tersebut hendaklah menjawab segala soalan berhubung dengan kes itu yang dikemukakan kepadanya oleh pegawai itu.

(3) Seseorang yang membuat sesuatu pernyataan di bawah seksyen ini hendaklah terikat di sisi undang-undang untuk menjawab dengan benar sama ada atau tidak pernyataan itu dibuat bagi menjawab keseluruhan atau sebahagian daripada soalan.

(4) Seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama yang memeriksa seseorang di bawah subseksyen (1) hendaklah terlebih dahulu memaklumkan kepada orang itu peruntukan subseksyen (2) dan (3).

(5) Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang di bawah seksyen ini hendaklah seberapa boleh dicatatkan dan ditandatangani atau dicap jari di hadapan dua orang saksi oleh orang yang membuatnya, selepas pernyataan itu dibaca balik kepadanya di dalam bahasa yang ia telah dibuat dan selepas dia diberi peluang untuk membuat apa-apa pembetulan yang dia kehendaki.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.