ENAKMEN 6 TAHUN 2001
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (TERENGGANU) 2001
BAHAGAN II - PEMBUKTIAN
BAB 3 - KETERANGAN DOKUMENTAR
Seksyen 52. Hal yang dalamnya keterangan sekunder berhubungan dengan dokumen boleh diberikan.
(1) Keterangan sekunder boleh diberikan mengenai kewujudan, keadaan atau kandungan sesuatu dokumen yang boleh diterima sebagai keterangan dalam hal yang berikut:
(a)
apabila dokumen asal dibuktikan atau didapati berada dalam milik atau di bawah kuasa-
(i) orang yang terhadapnya dokumen itu hendak dibuktikan;
(ii) mana-mana orang yang di luar bidang kuasa atau yang tidak tertakluk kepada proses Mahkamah; atau
(ii) mana-mana orang yang terikat di sisi undang-undang untuk mengemukakan,
dan setelah diberikan notis yang disebut dalam seksyen 53, orang itu tidak mengemukakannya;
(b)
apabila kewujudan, keadaan atau kandungan dokumen asal itu telah dibuktikan sebagai diakui secara bertulis oleh orang yang terhadapnya ia dibuktikan atau oleh wakilnya yang diakui secara bertulis di hadapan Hakim atau Pesuruhjaya Sumpah yang beragama Islam;
(c)
apabila dokumen asal itu telah musnah atau hilang, atau apabila pihak yang menawarkan keterangan mengenai kandungannya tidak dapat mengemukakannya dalam masa yang munasabah kerana apa-apa sebab lain yang tidak berbangkit daripada kemungkiran atau keabaiannya sendiri;
(d)
apabila dokumen asal itu adalah sebegitu keadaannya hingga ia tidak boleh dialih dengan mudah;
(e)
apabila dokumen asal itu ialah suatu dokumen awam dalam pengertian seksyen 57;
(f)
apabila dokumen asal itu ialah suatu dokumen yang salinan diperakuinya dibenarkan oleh Enakmen ini atau oleh mana-mana undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa di Malaysia untuk diberikan sebagai keterangan;
(g)
apabila dokumen asal itu terdiri daripada berbagai keterangan atau dokumen lain yang tidak boleh diperiksa dengan mudahnya di Mahkamah, dan fakta yang hendak dibuktikan itu ialah kesimpulan am mengenai kesemuanya itu.
(2)
(a)
Dalam hal yang disebut dalam perenggan (1)
(a), (c)
dan
(d
) apa-apa keterangan sekunder mengenai kandungan dokumen itu bolehlah diterima.
(b)
dalam hal yang disebut dalam perenggan (1)
(b)
, pengakuan bertulis di hadapan Hakim atau Pesuruhjaya Sumpah yang beragama Islam itu bolehlah diterima.
(c)
Dalam hal yang disebut dalam perenggan (1)
(e)
atau
(f)
, hanya salinan diperakui dokumen itu boleh diterima.
(d)
dalam hal yang disebut dalam perenggan (1)
(g)
, keterangan boleh diberikan tentang kesimpulan am mengenai dokumen itu oleh mana-mana orang yang telah memeriksanya dan yang mahir dalam pemeriksaan dokumen sedemikian.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.