ORDINAN 8 TAHUN 1991
ORDINAN KANUN ACARA JENAYAH SYARIAH 1991

BAHAGIAN VI - PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB XXIV
Pelupusan Barang Kes dan Harta yang Berkaitan dengan Kesalahan



Seksyen 201. Perintah pelupusan harta atas mana-mana kesalahan yang telah dilakukan.

(1) Mana-mana Mahkamah boleh jika difikirkan patut menahan mana-mana harta atau dokumen yang dikemukakan ke Mahkamah di bawah Kanun ini.

(2) Sewaktu atau selepas tamatnya mana-mana perbicaraan di mana-mana Mahkamah Syariah, Mahkamah boleh membuat perintah sebagaimana yang difikirkan patut untuk penjagaan atau pelupusan mana-mana harta atau dokumen yang dikemukakan di hadapannya atau di dalam jagaannya atau di dalam jagaan Pegawai Penguatkuasa Agama atau Pegawai Polis atau mana-mana pengkhidmat awam berhubung dengan mana-mana kesalahan yang telah dilakukan atau yang mana telah digunakan untuk melakukan mana-mana kesalahan.

Kuasa yang diberikan kepada Mahkamah hendaklah termasuk kuasa membuat perintah untuk melucuthak atau menyita atau memusnahkan atau menyerahkan harta tersebut kepada mana-mana orang tetapi hendaklah dijalankan tertakluk kepada mana-mana peruntukan khas berhubung dengan lucuthak, penyitaan, pemusnahan atau penyerahan yang terkandung di dalam undang-undang bertulis di bawah mana sabitan itu telah diputuskan.

(3) Mahkamah yang membuat perintah di bawah seksyen ini berhubung dengan mana-mana harta atau dokumen hendaklah mengarahkan sama ada perintah tersebut akan berkuatkuasa serta-merta atau pada mana-mana tarikh akan datang atau pada berlakunya mana-mana peristiwa; dan hendaklah kecuali, harta itu ialah binatang ternakan atau harta yang mudah rosak, memasukkan di dalam perintah tersebut semua arahan yang perlu dan syarat untuk menentukan bahawa harta atau dokumen itu akan dikemukakan pada bila-bila masa yang diperlukan untuk tujuan perbicaraan sama ada sewaktu atau di penutup di mana perintah tersebut dibuat untuk tujuan mana-mana rayuan atau tindakan jenayah selanjutnya berikutan dari perbicaraan tersebut.

(4) Dalam seksyen ini istilah "harta", berhubung dengan sesuatu kesalahan yang telah dilakukan, termasuklah bukan sahaja harta tersebut yang mulanya di dalam milik atau di bawah pengawasan mana-mana pihak tetapi juga mana-mana harta yang telah diubah darinya atau ditukar dengannya, dan apa juga yang diperolehi dengan perubahan atau pertukaran tersebut.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.