ENAKMEN 4 TAHUN 1994
KANUN ACARA JENAYAH (SYARIAH) 1994

BAHAGlAN II - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM MENGENAI MAHKAMAH JENAYAH
BAB III - DARIHAL MENANGKAP, MELARIKAN DIRI DAN MENANGKAP SEMULA



Seksyen 18. Keengganan memberi nama dan alamat.

(1) Apabila mana-mana orang, di hadapan seorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis, melakukan atau dituduh melakukan suatu kesalahan tak boleh tangkap dan enggan, apabila dikehendaki oleh mana-mana pegawai itu memberikan nama dan alamat kediamannya, atau memberikan nama atau alamat kediaman yang pegawai itu ada sebab untuk mempercayai adalah palsu, maka dia boleh ditangkap oleh pegawai itu supaya nama dan alamat kediamannya boleh ditentukan, dan dia hendaklah, dalam masa dua puluh empat jam dari waktu dia ditangkap itu, tidak termasuk masa yang perlu bagi perjalanan, dibawa ke hadapan Hakim Syarie yang terhampir melainkan jika sebelum daripada itu nama dan alamat kediamannya yang sebenar telah ditentukan, dan dalam hal sedemikian orang itu hendaklah dilepaskan dengan segera apabila dia menyempurnakan suatu bon untuk hadir di hadapan seorang Hakim Syarie jika dia dikehendaki berbuat sedemikian.

(2) Apabila mana-mana orang dibawa sedemikian ke hadapan seorang Hakim Syarie, Hakim itu boleh sama ada menghendaki orang itu menyempurnakan suatu bon, dengan penjamin, untuk hadir di hadapan seorang Hakim Syarie jika dia dikehendaki berbuat sedemikian, atau boleh memerintahkan supaya dia ditahan dalam jagaan sehingga dia boleh dibicarakan.

(3) Apabila mana-mana orang di hadapan seorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis melakukan atau dituduh melakukan suatu kesalahan tak boleh tangkap dan apabila dikehendaki oleh pegawai itu supaya memberikan nama dan alamat kediamannya, memberikan sebagai alamat kediamannya, suatu tempat di luar Negeri Perak Darul Ridzuan, maka dia boleh ditangkap oleh pegawai itu dan hendaklah dengan segera dibawa ke hadapan Hakim Syarie yang terhampir yang boleh menghendakinya supaya menyempurnakan suatu bon, dengan penjamin, untuk hadir di hadapan seorang Hakim Syarie jika dia dikehendaki berbuat demikian atau boleh memerintahkan supaya dia ditahan dalam jagaan sehingga dia boleh dibicarakan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.