ENAKMEN 7 TAHUN 1991
ENAKMEN ACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI MELAKA) 1991

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

Dalam Enakmen ini, melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki erti yang lain:

"bailif" termasuklah Pendaftar atau mana-mana pegawai Mahkamah yang menjalankan tugas "bailif";

"garnisi" ialah pihak ketiga yang memegang alih si berhutang hukuman;

"lien" ertinya hak ke atas harta kepunyaan si berhutang hukuman setakat jumlah yang berhutang;

"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" ertinya Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rayuan Syariah, setakat mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah seksyen 8 Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah (Negeri Melaka)1985;

"notis" ertinya notis bertulis melainkan Mahkamah memerintahkan yang sebaliknya;

"peguam syarie" ertinya seorang yang dilantik sebagai peguam syarie di bawah seksyen 19 Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah (Negeri Melaka) 1985;

"prima facie" ialah keterangan yang boleh diterima kalau tidak dibuktikan sebaliknya;

"orang yang belum dewasa" ertinya orang yang belum mencapai umur 18 tahun;

"orang yang tidak berkeupayaan" termasuk orang yang belum dewasa dan orang yang tidak siuman dan orang yang ditegah menguruskan hartanya;

"tahun" mempunyai erti yang diberi kepadanya dalam Akta-Akta Tafsiran 1948 dan 1967;

"terjemahan yang diperakukan" ertinya terjemahan sesuatu dokumen yang diperakukan betul oleh pegawai Mahkamah;

"tindakan" termasuklah "guaman" dan akasnya.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.