ENAKMEN 1 TAHUN 1983
ENAKMEN KELUARGA ISLAM 1983

BAHAGIAN III - PERKAHWINAN DAN PENDAFTARAN



Seksyen 39. Rujuk.


(1) (a) Jika selepas perceraian yang boleh dirujukkan, perujukan talah berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal perujukan itu dan butir-butir yang berkaitan dengannya kepada Pendaftar bagi mukim masjid di mana mereka bermukim. Pendaftar hendaklah membuat apa-apa penyiasatan yang perlu dan jika berpuashati bahawa perujukan telah berlaku mengikut Hukum Syarak hendaklah mendaftarkan perujukkan itu dengan membuat suatu endorsmen pada catatan dalam Daftar Cerai berhubung dengan perceraian itu, jika perceraian itu telah didaftarkan olehnya, dan hendaklah meminta pihak-pihak itu menyerahkan kepadanya Sijil Cerai yang berkaitan dan hendaklah mengeluarkan kepada mereka Keterangan Rujuk dalam borang 5D. Ia hendaklah juga menyerahkan satu salinan Keterangan Rujuk itu kepada Ketua Pendaftar yang sama pula hendaklah membuat suatu endorsmen pada catatan dalam Daftar Cerai yang disimpan olehnya berhubung dengan perceraian itu;

(b) Mana-mana pihak yang tidak melaporkan perujukan itu dalam tempoh yang ditentukan kepada Pendaftar itu adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak lebih daripada lima ratus ringgit atau dihukum penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

(2) Jika perceraian itu tidak didaftarkan oleh Pendaftar itu, ia hendaklah merekodkan dalam Sijil Cerai bilangan daftar dan butir-butir Keterangan Rujuk itu dan hendaklah menghantar Sijil Cerai kepada Pendaftar yang telah mengeluarkannya bersama dengan satu salinan Keterangan Rujuk itu dan Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah selepas itu membuat suatu endorsmen pada catatan dalam Daftar Cerai berhubung dengan perceraian itu. Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah kemudiannya menyerahkan salinan Keterangan Rujuk itu kepada Ketua Pendaftar yang mana pula hendaklah membuat endorsmen pada catatan dalam buku daftar cerai yang disimpan olehnya berhubung dengan Perceraian itu.

(3) Jika perceraian yang boleh dirujukkan telah berlaku tanpa diketahui oleh isteri, suami tidak boleh menghendaki atau meminta isteri supaya bersekedudukan semula dengannya tanpa menzahirkan kepadanya hal perceraian itu dan melafazkan rujuk.

(4) Jika selepas perceraian yang boleh dirujukkan suami melafazkan rujuk-

(a) jika isteri bersetuju terhadap rujuk itu, isteri boleh, atas permohonan suami, diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri melainkan jika isteri itu menunjukkan sebab-sebab yang baik mengikut Hukum Syarak sebaliknya dan, jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah melantik suatu Jawatankuasa Pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 35 dan peruntukan-peruntukan seksyen-kecil (3) hingga (10) seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya;

(b) jika isteri telah tidak bersetuju terhadap rujuk itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh Hukum Syarak ia tidak boleh diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi Mahkamah hendaklah melantik suatu Jawatankuasa Pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 35 dan peruntukan-peruntukan seksyen-kecil (3) hingga (10) seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

(5) Tiap-tiap Pendaftar hendaklah menyimpan suatu Daftar Rujuk bagaimana Borang 5E.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.