ENAKMEN 2 TAHUN 2001
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM (TERENGGANU)

BAHAGIAN II - MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU DAN PELANTIKAN PEGAWAI-PEGAWAI



Seksyen 4. Penubuhan Majlis.

(1) Maka hendaklah ada suatu badan bernama "Majlis Agama Islam dan Adat Melayu" untuk membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.

(2) Apabila seksyen ini mula berkuat kuasa, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu yang wujud sebelum permulaan kuat kuasa itu menurut kuasa Enakmen terdahulu hendaklah disifatkan sebagai Majlis yang disebut dalam subseksyen (1).

(3) Segala hak, kuasa, kewajipan dan tanggungan yang sebelum Enakmen ini mula berkuat kuasa adalah terletak hak atau dipertanggungkan pada Majlis terdahulu hendaklah apabila Enakmen ini mula berkuat kuasa terletak hak dan dipertanggungkan pada Majlis, kecuali mana-mana yang tidak selaras dengan peruntukan-peruntukan Enakmen ini.

(4) Segala jenis harta, alih dan tak alih, yang sebelum Enakmen ini mula berkuat kuasa, adalah terletak hak pada Majlis terdahulu hendaklah, apabila Enakmen ini mula berkuat kuasa, terletak hak pada Majlis tanpa dipindahkan, diserahhakkan atau dipindahmilikkan.





Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.