ENAKMEN 12 TAHUN 1994
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH 1994

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN
BAB 7 - SAKSI



Seksyen 83. Siapa yang boleh memberi keterangan sebagai saksi.

(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan peruntukan seksyen ini, semua orang Islam adalah layak memberi syahadah atau bayyinah sebagai saksi dengan syarat mereka hendaklah sempurna akal, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak menimbulkan tohmah.

(2) Seseorang yang bukan Islam layak memberi bayyinah ke atas seorang Islam jika keterangan itu boleh diterima mengikut Hukum Syarak.

Huraian
(3) Seorang yang tidak bersifat adil yang mana keburukannya mengatasi kebaikannya atau sentiasa bercakap dusta atau rosak akhlaknya adalah layak memberi bayyinah tetapi tidak layak memberi syahadah.

(4) Di mana seseorang yang disebutkan di dalam subseksyen (3) adalah seorang bukan Islam, dia mestilah seseorang yang boleh dipercayai mengikut agamanya.

(5) Seorang kanak-kanak yang belum baligh atau seorang baligh tetapi terencat akal fikirannya adalah layak memberi bayyinah tetapi tidak layak memberi syahadah.

Huraian - Keterangan kanak-kanak dalam kes kecederaan yang dilakukan oleh setengah kanak-kanak, ke atas yang lain boleh diterima dengan syarat mereka tidak berselisih faham dan masih berada di tempat kejadian itu.

(6) Seorang yang dikenali dengan lemah ingatan atau pelupa atau salah ingatan adalah layak memberi bayyinah tetapi tidak layak memberi syahadah.

(7) Seorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan baik dan mempunyai kepentingan dengan pihak yang berkaitan adalah layak memberi bayyinah tetapi tidak layak memberi syahadah bagi pihak itu.

(8) Seorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan buruk dengan pihak yang berkaitan adalah layak memberi bayyinah tetapi tidak layak memberi syahadah terhadap pihak itu.

Huraian - "Adil" ertinya seorang Islam yang termaklum menunaikan kewajipan agama, menjauhi daripada dosa-dosa besar dan tidak mengekalkan dosa-dosa kecil;

Dengan syarat bahawa jika saksi itu seorang bukan Islam dia hendaklah boleh dipercayai mengikut agamanya atau kepercayaannya.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.