ENAKMEN 4 TAHUN 1994
ENAKMEN MAHKAMAH SYARIAH 1993
BAHAGIAN II - MAHKAMAH SYARIAH
Seksyen 9. Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah.
(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa di seluruh Negeri dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Syarie.
(2) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
(a)
dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Tahun 1962, Enakmen Keluarga Islam 1979, Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1988, atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang sedang berkuatkuasa, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan baginya;
(b)
dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan dengan-
(i) pertunangan, perkahwinan, ruju' perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (mufaraqah) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan di antara suami isteri;
(ii) apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);
(iii) nafkah orang-orang Tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) anak-anak;
(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;
(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati Islam;
(vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seseorang Islam;
(vii) wakaf atau nazar;
(viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat;
(ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya orang-orang itu masing-masing berhak; atau
(x) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.