ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN TATACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG)
BAHAGIAN XI - PENZAHIRAN
Seksyen 85. Penzahiran dokumen dan fakta
(1) Mahkamah boleh, jika perlu dan atas apa-apa terma yang difikirkannya adil, memerintahkan mana-mana pihak—
(a)
menyatakan dengan bersumpah, secara lisan atau dengan afidavit apakah dokumen yang ada atau pernah ada dalam milikannya atau kuasanya berhubungan dengan perkara yang berkenaan, atau sama ada dia ada atau pernah ada dalam milikannya atau kuasanya apa-apa dokumen atau jenis dokumen tertentu, dan, dalam mana-mana hal itu, tempat tersimpannya mana-mana dokumen yang dahulunya berada dalam milikannya atau kuasanya, tetapi sekarang tidak lagi berada dalam milikannya atau kuasanya; atau
(b)
mengemukakan apa-apa dokumen yang berada dalam milikannya atau kuasanya.
(2) Jika pihak itu ialah suatu badan, sama ada diperbadankan atau selainnya, seorang pegawainya boleh diperintahkan supaya mematuhi perintah atau arahan Mahkamah berkenaan dengan penzahiran apa-apa dokumen.
(3) Mahkamah boleh menggantung prosiding itu sementara menanti pematuhan perintah atau arahan Mahkamah di bawah seksyen ini.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.