ORDINAN 5 TAHUN 1991
ORDINAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1991

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 50. Hidup semula sebagai suami isteri atau ruju'.

(1) Dalam seksyen ini "talaq raj'i" ertinya perceraian dengan satu atau dua talaq yang tidak diikuti dengan habis iddah, dan "persekedudukan semula" ertinya hidup semula sebagai suami isteri dalam tempoh sebelum perceraian menjadi tak boleh diruju'kan.

(2) Jika, selepas sesuatu talaq raj'i, persekedudukan semula berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal persekedudukan semula itu dan butir-butir lain yang berkaitan kepada Pendaftar bagi kawasan di mana mereka bermastautin.

(3) Pendaftar hendaklah membuat apa-apa penyiasatan yang perlu dan, jika berpuas hati bahawa persekedudukan semula telah berlaku mengikut Hukum Syarak, hendaklah mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat suatu endorsmen pada catatan berhubung dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian, jika perceraian itu telah didaftarkan olehnya, dan hendaklah meminta pihak-pihak itu menyerahkan kepadanya surat-surat perakuan cerai yang berkaitan dan hendaklah mengeluarkan kepada mereka surat perakuan persekedudukan semula dalam borang yang ditetapkan.

(4) Pendaftar hendaklah juga menyerahkan satu salinan surat perakuan persekedudukan semula itu kepada Ketua Pendaftar yang hendaklah mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat suatu endorsmen pada catatan berhubung dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya.

(5) Mana-mana pihak kepada suatu perkahwinan yang tidak melaporkan hal persekedudukan semula sebagaimana dikehendaki oleh subseksyen (2) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

(6) Jika perceraian itu tidak didaftarkan oleh Pendaftar yang kepadanya laporan di bawah subseksyen (2) itu dibuat, dia hendaklah merekodkan dalam surat-surat perakuan cerai nombor siri dan butir-butir surat perakuan persekedudukan semula itu dan hendaklah menghantar surat-surat perakuan cerai itu kepada Pendaftar yang telah mengeluarkannya bersama dengan satu salinan surat perakuan persekedudukan semula itu, dan Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah selepas itu mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat suatu endorsmen pada catatan berhubung dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian dan hendaklah menyerahkan salinan surat perakuan persekedudukan semula itu kepada Ketua Pendaftar yang hendaklah mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat endorsmen pada catatan berhubung dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya.

(7) Jika talaq raj'i telah berlaku tanpa diketahui oleh isteri, suami tidak boleh menghendaki atau meminta isteri supaya melakukan persekedudukan semula dengannya tanpa menzahirkan kepadanya hal perceraian itu.

(8) Jika selepas talaq raj'i suami melafazkan ruju' dan isteri telah bersetuju terhadap ruju' itu, isteri boleh, atas permohonan suami, diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, melainkan jika isteri itu menunjukkan sebab-sebab yang baik mengikut Hukum Syarak sebaliknya, dan, jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 46 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

(9) Jika selepas talaq raj'i suami melafazkan ruju' tetapi isteri telah tidak bersetuju terhadap ruju' itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh Hukum Syarak, dia tidak boleh diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 46 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.