ENAKMEN 4 TAHUN 1994
KANUN ACARA JENAYAH (SYARIAH) 1994

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB XXVI - DARIHAL PELUPUSAN BARANG KES DAN HARTA YANG MENJADI PERKARA KESALAHAN



Seksyen 198. Perintah bagi pelupusan harta yang berkenaan dengannya kesalahan dilakukan.

(1) Mana-mana Mahkamah boleh jika ia fikirkan patut menahan apa-apa harta atau dokumen yang dikemukakan di hadapannya di bawah Kanun ini.

(2) Semasa atau apabila berakhirnya mana-mana perbicaraan di mana-mana Mahkamah Syariah, Mahkamah itu boleh membuat perintah sebagaimana yang ia fikirkan patut bagi tahanan atau pelupusan apa-apa jua harta atau dokumen yang dikemukakan di hadapannya atau yang dalam tahanannya atau tahanan mana-mana Pegawai Penguatkuasa Agama atau polis atau mana-mana pengkhidmat awam yang berkenaan dengannya apa-apa kesalahan ternyata telah dilakukan atau yang telah digunakan bagi perlakuan mana-mana kesalahan.

Kuasa yang diberikan ini hendaklah termasuk kuasa untuk membuat perintah bagi perlucuthakan atau perampasan atau bagi pemusnahan atau penyerahan harta tersebut kepada mana-mana orang, tetapi hendaklah dijalankan tertakluk kepada mana-mana peruntukan khas berhubungan dengan perlucuthakan, perampasan, pemusnahan atau penyerahan yang terkandung dalam undang-undang bertulis yang di bawahnya sabitan itu telah dibuat.

(3) Mahkamah yang membuat perintah di bawah seksyen ini berkenaan dengan apa-apa harta atau dokumen hendaklah mengarahkan sama ada perintah tersebut akan berkuatkuasa serta-merta atau pada mana-mana tarikh masa hadapan atau pada berlakunya apa-apa peristiwa masa hadapan, dan hendaklah, kecuali jika harta itu adalah binatang ternakan atau harta yang mudah rosak, memasukkan dalam perintah itu semua arahan dan syarat yang perlu untuk memastikan bahawa harta atau dokumen itu akan dikemukakan sebagaimana dan apabila dikehendaki bagi maksud-maksud perbicaraan yang semasa atau bagi pada akhirnya perintah itu adalah dibuat atau bagi maksud-maksud apa-apa rayuan atau prosiding jenayah selanjutnya yang timbul daripada perbicaraan tersebut

(4) Dalam seksyen ini istilah "harta" termasuklah, dalam hal harta yang berkenaan dengannya sesuatu kesalahan ternyata telah dilakukan, bukan sahaja harta yang pada asalnya berada dalam milikan atau di bawah kawalan mana-mana pihak tetapi juga apa-apa harta yang kepadanya atau baginya harta itu mungkin telah diubah atau ditukar, dan apa-apa jua yang diperolehi dengan pengubahan atau pertukaran, tersebut, sama ada dengan serta-merta atau selainnya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.