ENAKMEN 12 TAHUN 2002
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI MELAKA) 2002

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN



Seksyen 49. Perceraian khul’ atau cerai tebus talaq.

(1) Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talaq, Mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu, menyebabkan suami itu melafazkan perceraian dengan cara penebusan, dan perceraian itu adalah ba-in sughra atau tak boleh dirujukkan.

(2) Mahkamah hendaklah merekodkan cerai tebus talaq itu dengan sewajarnya dan menghantar suatu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(3) Jika jumlah bayaran tebus talaq tidak dipersetujui oleh pihak-pihak itu, Mahkamah boleh mentaksirkan jumlah itu mengikut Hukum Syarak dengan memberikan pertimbangan kepada taraf dan sumber kewangan pihak-pihak itu.

(4) Jika suami tidak bersetuju dengan cara penebusan atau tidak hadir di hadapan Mahkamah sebagaimana yang diarahkan, atau jika Mahkamah berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi suatu perdamaian, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah terpakai sewajarnya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.