ENAKMEN 14 TAHUN 1978
ENAKMEN PENTADBIRAN IGAMA ISLAM 1978

BAHAGIAN IV
PERLANTIKAN DAN PENUBUHAN MAHKAMAH



Seksyen 65. Rayuan Mal.

(1) Tertakluk kepada peruntukan seksyen-kecil (1) (b) kepada seksyen 60 dalam Enakmen ini, mana-mana pihak dalam pembicaraan mal di Mahkamah Kadi bolehlah merayu mengenai keputusan atau perintah Mahkamah yang demikian kepada Mahkamah Rayuan yang ditubuhkan menurut peruntukan Enakmen ini.

(2) Rayuan demikian hendaklah dibuat dengan memfailkan satu notis rayuan dalam Mahkamah yang membuat keputusan atau perintah yang hendak dirayukan yang dialamatkan kepada Mahkamah dan dengan menjelaskan bayaran yang ditetapkan. Mahkamah hendaklah memberi satu salinan notis yang demikian dengan seberapa segera yang boleh kepada tiap-tiap pihak yang menentang.

(3) Tidak ada Notis Rayuan boleh difailkan selepas habis tempoh empat belas hari daripada tarikh keputusan atau perintah yang hendak dirayukan itu diberi atau dibuat tetapi atas permohonan dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan bolehlah ia jika difikirkan oleh kerana hal keadaan yang tertentu menuntut dilanjutkan tempoh itu, memberi kebenaran merayu dalam satu-satu tempoh yang dilanjutkan yang difikirkan patut.

(4) Tiap-tiap Notis Rayuan hendaklah mengandungi alamat di mana sebarang notis atau dokumen berhubung dengan rayuan itu boleh disampaikan kepada pihak yang merayu atau kepada Peguam Syar'inya.

(5) Apabila diterima Notis Rayuan maka Kadi hendaklah menyediakan dan menandatangani alasan-alasan keputusannya dan hendaklah memberi kepada pihak yang merayu apabila dijelaskan bayaran yang ditetapkan satu salinan alasan-alasan yang demikian, satu salinan nota pembicaraan dan salinan-salinan dokumen yang lain yang dikatakan dikehendaki oleh pihak yang merayu untuk membolehkan menyediakan rekod.

(6) Apabila dokumen-dokumen yang disebutkan dalam seksyen-kecil tadi telah siap maka Mahkamah hendaklah memberitahu tentangnya kepada pihak yang merayu dan dalam tempoh dua puluh satu hari selepas notis itu diterima maka pihak yang merayu hendaklah memfail salinan-salinan Rekod Rayuan yang mencukupi dalam Mahkamah. Empat salinan rekod tersebut hendaklah dikemukakan oleh Mahkamah kepada Mahkamah Rayuan dan satu salinan hendaklah diberikan kepada tiap-tiap pihak menentang dalam rayuan itu. Rekod Rayuan itu hendaklah mengandungi Petisyen Rayuan yang dialamatkan kepada Mahkamah Rayuan menyatakan alasan-alasan bagi bantahan pihak yang merayu terhadap keputusan atau perintah yang dirayukan itu, satu salinan tuntutan, satu salinan kenyataan belaan, salinan perintah-perintah, satu salinan nota pembicaraan Mahkamah, salinan-salinan segala dokumen dan salinan-salinan keterangan bertulis, satu salinan keputusan atau perintah, satu salinan alasan keputusan, satu salinan Notis Rayuan dan satu Fahrasat. Jika rekod itu tidak mengikut peraturan atau jika difailkan di luar masa, atau jika pihak menentang tidak menyerahkan rekod itu, maka Mahkamah hendaklah memberitahu Mahkamah Rayuan akan hal itu.

(7) Pihak menentang dalam rayuan boleh memberi notis kepada Mahkamah dan pihak-pihak yang lainnya yang berkenaan bahawa ia hendak mengatakan bahawa keputusan atau perintah yang dirayukan itu hendaklah diubah maka kenyataan yang demikian hendaklah berjalan sebagai rayuan silang.

(8) Mahkamah Rayuan hendaklah menetapkan tarikh bagi mendengar rayuan itu, dan hendaklah memberitahu kedua-dua pihak mengenai tarikh dan tempat rayuan itu akan didengar.

(9) Pada tarikh yang ditetapkan atau mana-mana hari yang lain yang padanya ditangguhkan pendengaran rayuan itu maka Mahkamah Rayuan hendaklah mendengar pihak-pihak dalam rayuan itu dan merujuk kepada mana-mana bahagian Rekod Rayuan dan kemudiannya hendaklah membuat apa-apa perintah mengikut seksyen-kecil (1) (
b) kepada seksyen 63 dalam Enakmen ini dan berkenaan dengan perbelanjaan rayuan yang difikirkan patut.

(10) Tidak boleh dibenarkan rayuan atau diperintahkan supaya dibicarakan semula atas sebab-sebab keadah yang di luar peraturan atau penerimaan salah mengenai keterangan kecuali dengan sebab itu telah berlaku kealpaan keadilan.

(11) Keputusan Mahkamah Rayuan hendaklah muktamad dan terikat ke atas pihak-pihak dalam rayuan ini.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.