ENAKMEN 13 TAHUN 1993
ENAKMEN KETERANGAN SYARIAH 1993

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN
BAB 8 - PEMERIKSAAN SAKSI



Seksyen 99. Pemeriksaan balas tentang pernyataan bertulis terdahulu.

(1) Seseorang saksi boleh diperiksa balas tentang pernyataan-pernyataan terdahulu yang dibuat olehnya secara bertulis atau yang diturunkan menjadi tulisan, dan relevan dengan perkara-perkara yang menjadi soal dalam guaman atau prosiding dalam mana dia diperiksa balas itu, tanpa tulisan itu ditunjukkan kepadanya atau dibuktikan; akan tetapi jika sekiranya dimaksudkan untuk menyangkal saksi itu dengan jalan tulisan itu, sebelum tulisan itu boleh dibuktikan, perhatian saksi itu mestilah diarah kepada bahagian-bahagian tulisan itu yang hendak digunakan bagi maksud menyangkalnya itu.

(2) Jika seseorang saksi, apabila diperiksa balas tentang pernyataan lisan terdahulu yang dibuat olehnya yang relevan dengan perkara-perkara yang menjadi soal di dalam guaman atau prosiding dalam mana dia diperiksa balas itu dan yang tidak konsisten dengan testimoni yang sedang diberinya, tidak mengaku dengan terangnya bahawa dia telah membuat pernyataan itu, maka bukti bolehlah diberi yang dia telah sebenarnya membuat pernyataan lisan itu; akan tetapi sebelum bukti itu boleh diberi hal keadaan pernyataan yang dikatakan itu, yang cukup untuk menentukan peristiwa tertentu itu, mestilah disebutkan kepada saksi itu, dan dia mestilah ditanya sama ada dia telah membuat pernyataan itu atau tidak.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.