ENAKMEN 7 TAHUN 1993
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

BAHAGIAN III - MUFTI DAN JAWATANKUASA SYARIAH



Seksyen 36. Fatwa.

(1) Tertakluk kepada seksyen 39 (5) Mufti hendaklah, atas perintah Yang di-Pertuan Agong, dan bolehlah, atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan dari mana-mana orang yang dibuat dengan surat yang ditujukan kepada Mufti, membuat dan menyiarkan dalam Warta, fatwa atau pendapat atas sesuatu persoalan yang belum terputus atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau yang berkaitan dengan Hukum Syara'.

(2) Tiada sesuatu kenyataan yang dibuat oleh Mufti, boleh dianggap sebagai fatwa, kecuali dan sehingga ia disiarkan dalam
Warta mengikut subseksyen (1).

(3) Sebaik sahaja disiarkan dalam
Warta sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang bermastautin di Negeri Pulau Pinang sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu melainkan jika dia dibenarkan oleh Hukum Syara' tidak mengikut fatwa itu dalam perkara-perkara amalan, kepercayaan, atau pendapat peribadi.

(4) Sesuatu fatwa bertulis hendaklah diiktiraf oleh semua mahkamah dalam Negeri Pulau Pinang sebagai autoritatif mengenai semua perkara yang dinyatakan di dalamnya.

(5) Walau apa jua pun yang terdapat dalam subseksyen (2), sesuatu kenyataan bertulis yang dibuat oleh Mufti boleh dianggap sebagai fatwa untuk perbicaraan dalam mana-mana mahkamah.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.