ENAKMEN 3 TAHUN 1996
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996


HURAIAN

Rang Undang-Undang ini bertujuan mengadakan peruntukan bagi kesalahan-kesalahan terhadap rukun agama Islam oleh orang yang menganut agama Islam di Negeri Pulau Pinang.

Beberapa kesalahan yang dimasukkan ke dalam Rang Undang-Undang ini diperuntukkan sekarang dalam Bahagian IX Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam 1959, (kemudian daripada ini disebut sebagai "Enakmen 1959). Walau bagaimanapun, peruntukan-peruntukan itu telah disemak dan diperbaiki, termasuklah dengan mengenakan penalti yang lebih berat untuk mencerminkan keseriusan kesalahan-kesalahan itu.

2. Bahagian I memperkatakan perkara-perkara permulaan. Fasal 1(2), memperuntukkan secara jelas bahawa Enakmen yang dicadangkan oleh Rang Undang-Undang ini terpakai bagi orang yang menganut agama Islam sahaja.

3. Bahagian II mengandungi kesalahan-kesalahan yang berhubungan dengan aqidah.
Fasal 3 menjadikan kesalahan bagi mana-mana orang memuja alam semulajadi atau melakukan apa-apa perbuatan yang menunjukkan pemujaan atau rasa hormat kepada mana-mana orang, binatang, tempat atau benda dengan apa-apa cara yang menyalahi Hukum Syara'l. Fasal 4 merupakan kesalahan mengenai ajaran dan amalan menyeleweng. Kesalahan lain yang diperuntukan di bawah bahagian ini ialah kesalahan mengembangkan doktrin agama selain daripada agama Islam di kalangan orang beragama Islam (fasal 5) dan kesalahan mengistiharkan diri sendiri atau orang lain sebagai rasul atau nabi, Imam Mahdi atau wali (fasal 6).

4. Bahagian III mengandungi kesalahan-kesalahan berhubungan dengan kesucian agama Islam. Antara kesalahan yang diperuntukan di bawah bahagian ini dan yang tidak diperuntukkan di bawah Enakmen 1959 ialah kesalahan menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam (fasal 7), kesalahan mengingkari perintah Mahkamah (fasal 10) dan kesalahan berjudi (fasal 18). Kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan dalam Enakmen 1959 dan yang peruntukan mengenainya telah diperbaiki ialah kesalahan mempersendakan ayat Quran atau Hadith (fasal 8), kesalahan bertindak dengan menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama (fasal 9), kesalahan mengajar agama tanpa tauliah (fasal 11), kesalahan memberikan, mengembangkan atau menyebarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa (fasal 12), kesalahan mencetak, mengeluarkan, dsb. penerbitan agama bertentangan dengan Hukum Syarak (fasal 13), kesalahan tidak menunaikan sembahyang Jumaat (fasal 14), kesalahan tidak menghormati Ramadhan (fasal 15), kesalahan tidak membayar zakat atau fitrah (fasal 16), kesalahan menghasut supaya mengabaikan kewajipan agama (fasal 17) dan kesalahan meminum minuman yang memabukkan (fasal 19).

5. Bahagian IV mengandungi kesalahan-kesalahan berhubungan dengan kesusilaan. Selain daripada kesalahan persetubuhan luar nikah (fasal 23) dan khalwat (fasal 27), semua kesalahan yang lain di bawah Bahagian ini tidak diperuntukkan di bawah Enakmen 1959. Kesalahan itu ialah kesalahan sumbang mahram (fasal 20), kesalahan melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk

6. Bahagian V mengandungi kesalahan-kesalahan pelbagai. Kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan ialah kesalahan memberikan keterangan, maklumat atau pernyataan palsu untuk digunakan dalam prosiding kehakiman (fasal 30), kesalahan menganggap orang Islam sebagai bukan Islam (fasal 31), kesalahan memusnahkan atau mencemarkan masjid, dsb. (fasal 32), kesalahan menggalakkan maksiat (fasal 35), kesalahan memujuk lari perempuan bersuami (fasal 36), kesalahan menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri (fasal 37), kesalahan menggalakan perceraian atau pengabaian tanggungjawab (fasal 38), kesalahan memujuk lari orang perempuan (fasal 39), kesalahan menjual atau memberikan kanak-kanak kepada orang bukan Islam (fasal 40), kesalahan qazaf (fasal 41) dan kesalahan menyalahgunakan tanda halal (fasal 42). Kesalahan memungut zakat atau fitrah tanpa kuasa (fasal 33), dan membayar zakat atau fitrah secara tak sah (fasal 34) merupakan peruntukan yang sedia ada dalam Enakmen 1959.

7. Bahagian VI mengandungi peruntukan mengenai penyubahatan dan percubaan yang adalah lebih terperinci daripada peruntukan dalam Enakmen 1959.

8. Bahagian VII mengandungi kecualian am. Antara kecualian am bagi kesalahan-kesalahan yang diperuntukan di bawah Enakmen yang dicadangkan ialah perbuatan Hakim apabila bertindak secara kehakiman (fasal 48), perbuatan yang dilakukan menurut penghakiman atau perintah Mahkamah (fasal 49), perbuatan yang dilakukan oleh orang yang mempunyai justifikasi di sisi undang-undang (fasal 50), perbuatan kanak-kanak yang belum baligh (fasal 51), perbuatan orang yang tak sempurna akal (fasal 52) dan perbuatan orang yang terpaksa oleh sebab ugutan (fasal 53).

9. Bahagian VIII mengandungi perkara-perkara am, fasal 54 memberikan Majlis kuasa untuk menetapkan pusat pemulihan atau rumah diluluskan. Fasal 55 dan 56 memberi Mahkamah kuasa untuk mengkomitkan orang yang disabitkan atas kesalahan tertentu ke pusat pemulihan diluluskan atau rumah diluluskan, Fasal 57 mengadakan peruntukan bagi pemberhentian pemakaian Bahagian IX Enakmen 1959.


IMPLIKASI KEWANGAN

Rang Undang-Undang ini tidak akan melibatkan Kerajaan Negeri dalam apa-apa perbelanjaan wang tambahan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.